TIGA tangki berisi kapasiti keseluruhan 18,000 liter diesel berjaya diselamatkan daripada letupan susulan tindakan cekap anggota bomba mengawal kebakaran, dalam kejadian di Kampung Beladin. FOTO Ihsan Bomba
TIGA tangki berisi kapasiti keseluruhan 18,000 liter diesel berjaya diselamatkan daripada letupan susulan tindakan cekap anggota bomba mengawal kebakaran, dalam kejadian di Kampung Beladin. FOTO Ihsan Bomba
Muhd Amirul Faiz Ahmad


TINDAKAN pantas bomba mengawal kebakaran berjaya menyelamatkan tiga tangki diesel berkapasiti keseluruhan 18,000 liter daripada meletup, dalam kejadian di Kampung Beladin, di Pusa, malam tadi

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, dalam kejadian 10 malam itu, kebakaran mengakibatkan dua rumah sewa kampung separuh kekal, disewa Pertubuhan Nelayan Beladin, terbakar 100 peratus.

“Turut terbakar dalam kejadian berkenaan adalah Pusat Internet Kampung Beladin memusnahkan 40 peratus struktur bangunan. Pihak bomba yang menerima laporan kecemasan pada 10.10 malam itu, bertindak pantas bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke tiga tangki minyak diesel.

“Kecekapan pihak bomba menyelamatkan tiga tangki berkenaan yang masing-masing berada dalam jarak enam meter dari rumah sewa berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Ling Hii berkata, tujuh anggota diketuai Jusmandi Jamaie dari Balai Bomba dan Penyelamat Betong, digerakkan ke lokasi.

“Kebakaran berjaya dikawal pada 11.51 malam tadi. Seorang mangsa berjaya menyelamatkan diri dan tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, kerja ‘overhaul’ dilaksanakan demi memastikan tiada lagi punca api yang merisikokan keselamatan.

“Operasi tamat sepenuhnya pada 1.02 pagi tadi dengan punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Disember 2019 @ 12:44 PM