Nur Lela Zulkipli


KANAK-KANAK perempuan yang meninggal dunia akibat didera, Ahad lalu diasuh suami isteri di Jalan Yadi, Klang bersama adik kembarnya dan dua kakak tiri, selepas ibu mereka mengenali pengasuh itu di laman sosial.

Sumber berkata, ibu mangsa berusia 28 tahun mengenali suspek wanita berusia 30 tahun di Facebook sejak tiga tahun lalu.

Katanya, kembar berumur empat tahun itu bersama kakak tirinya berusia 10 dan 11 tahun dalam jagaan suspek dan suaminya berusia 36 tahun sejak pertengahan Ogos lalu.

“Difahamkan, sepanjang lebih sebulan mereka di rumah pengasuh itu, hanya sekali sahaja ibunya datang melawat.

“Ibu mangsa bekerja di Cyberjaya dan berasal dari Johor,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Terdahulu, suami isteri itu ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis menerima maklumat kejadian pada 1.21 tengah hari Ahad lalu dan mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan pada abdomennya akibat hentakan objek tumpul selain ada 41 kecederaan baharu dan lama selain lebam.

Berita berkaitan

Suspek dera budak ditahan

Kanak-kanak maut didera pengasuh

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 12:30 PM
SUAMI isteri disyaki mendera budak direman di Mahkamah Majistret Klang, hari ini. FOTO Faiz Anuar.
SUAMI isteri disyaki mendera budak direman di Mahkamah Majistret Klang, hari ini. FOTO Faiz Anuar.