Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Pengasuh, suami serta anak saudaranya yang masih di bawah umur, didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan mendera dua beradik berusia tiga serta dua tahun, Jun lalu.

Tertuduh, Fazelina Mohd Lias, 37, suaminya, Mansor Saat, 57, dan anak saudara perempuannya yang berusia 13 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut kedua-dua kertas pertuduhan, Fazelina, Mansor dan anak saudaranya yang secara bersama-sama menjaga dua kanak-kanak adik-beradik yang masing-masing berusia tiga dan dua tahun, dituduh menganiayai dua kanak-kanak berkenaan sehingga menyebabkan mereka mengalami kecederaan fizikal.

Mereka didakwa melakukan perbuatan berkenaan di sebuah rumah di Taman Bukit Kempas, di sini, kira-kira jam 3 petang pada 10 Jun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Ia membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah juga hendaklah menambah hukuman tambahan mengikut Seksyen 31(2) iaitu bon berkelakuan baik selama tempoh serta syarat ditetapkan mahkamah selain melaksanakan khidmat masyarakat, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Muhammad Qaiyyum kemudian menawarkan jaminan masing-masing sebanyak RM20,000 terhadap Fazelina dan suaminya, selain RM5,000 terhadap remaja itu.

Timbalan Pendakwa Raya juga memohon syarat tambahan supaya ketiga-tiga tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan.

PENGASUH, suami dan anak saudara  didakwa atas dua pertuduhan mendera dua beradik di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
PENGASUH, suami dan anak saudara didakwa atas dua pertuduhan mendera dua beradik di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan.

Dalam rayuannya, Fazelina merayu mahkamah mengurangkan jumlah jaminan berikutan dia hanya suri rumah dan tidak bekerja.

Suaminya Mansor ketika rayuannya berkata, dia juga memohon pengurangan jaminannya, kerana bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM1,600 selain menanggung seorang anak.

Remaja berusia 13 tahun ketika diminta mahkamah membuat rayuannya pula dilihat hanya mendiamkan diri.

Mahkamah kemudian memerintahkan pengasuh berkenaan dan suaminya dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin, manakala ibu bapa remaja itu diperintahkan membayar RM1,500 dengan seorang penjamin, sebagai jaminan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 22 Ogos depan untuk penyerahan dokumen termasuk laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain membolehkan tertuduh melantik peguam.

Pada 18 Jun lalu, media melaporkan seorang pengasuh, suami serta anak saudaranya dari Taman Bukit Kempas, di sini, ditahan polis pada 17 Jun, dipercayai terbabit mendera dua adik beradik lelaki berusia dua dan tiga tahun sejak Jun lalu.

Kedua-dua mangsa dilaporkan didera oleh pengasuhnya dengan cara dipukul, disepak dan dipijak malah kedua-dua mangsa juga dilaporkan pernah dilihat didera oleh pengasuh dan ahli keluarganya.

Berita berkaitan:

  • Suami isteri antara tiga ditahan kes dera dua kanak-kanak
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 1:21 PM