BUKIT yang digondol pengusaha kebun sayur menimbus anak Sungai Belatop di Kampung Sang Wai, Lojing.
BUKIT yang digondol pengusaha kebun sayur menimbus anak Sungai Belatop di Kampung Sang Wai, Lojing.
Ramli Ibrahim

Gua Musang: Kira-kira 300 penduduk Orang Asli di Kampung Sang Wai, Lojing di sini, berdepan risiko hilang penempatan susulan tanah runtuh yang dipercayai berlaku akibat pembukaan kebun sayur, sejak tiga bulan lalu.

Selain kampung itu, sembilan perkampungan etnik berkenaan yang terdapat di sekitar Lojing turut menghadapi risiko sama.

Penduduk, Kamarudin Uda, 43, berkata, tanah runtuh semakin kritikal menyebabkan mereka bimbang tertimbus sekiranya tiada langkah pencegahan diambil.

“Terdapat 120 rumah di sini dan kami sudah berhadapan tanah runtuh sejak pembukaan kebun sayur itu tiga bulan lalu.

“Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang, ia dijangka memburukkan keadaan, malah anak Sungai Belatop juga sudah ditimbusi tanah akibat runtuhan bukit yang disodok pihak terbabit.

“Sudahlah jarak runtuhan dengan kediaman kami sangat dekat, beberapa meter sahaja. Malah sudah ada penduduk yang pindah ke dewan orang ramai berhampiran kerana takut selain berpindah secara berperingkat,” katanya di sini, semalam.

RUMAH penduduk Orang Asli di Kampung Sang Wai, Lojing berdepan risiko hilang penempatan akibat tanah runtuh.
RUMAH penduduk Orang Asli di Kampung Sang Wai, Lojing berdepan risiko hilang penempatan akibat tanah runtuh.

Menurutnya, mereka pernah menyuarakan kebimbangan itu kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA), namun belum ada tindakan.

Sementara itu, Penghulu Kampung Sang Wai, Nasir Busu berkata, runtuhan terbaru tiga hari lalu menyebabkan hampir keseluruhan kebun pisang diusahakan penduduk seluas dua hektar tertimbus.

“Apabila hujan lebat, kami di sini menghadapi banjir lumpur disebabkan anak sungai yang cetek. Penduduk yang paling hampir dengan runtuhan sudahpun berpindah ke dewan orang ramai.

“Saya berharap tindakan segera diambil kerana ini mengancam nyawa dan memusnahkan tempat tinggal kami,” katanya.

Mengulas isu itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab Aziz Yusof mengakui terdapat beberapa perkampungan Orang Asli di Lojing terdedah risiko tanah runtuh.

Beliau berkata, sebelum ini, Kampung Jedip di Pos Brooke menghadapi situasi sama dan isu belum diselesaikan.

“Kini Kampung Sang Wai pula. Kami pun sudah acap kali bangkitkan hal ini kepada kerajaan negeri. Nampaknya belum ada tindakan serius diambil.

“Langkah selanjutnya termasuk usulkan kepada agensi Kerajaan Persekutuan supaya tindakan segera dapat diambil. Kami akan perjuangkan nasib Orang Asli di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 7:54 AM