ANTARA individu ditahan dalam operasi berkenaan. FOTO AADK
ANTARA individu ditahan dalam operasi berkenaan. FOTO AADK
Fardy Bungga


BUKAN anak, tapi ibu bapa yang positif dadah. Itu hasil operasi pemeriksaan dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk mengesan penagih dadah di Kota Kinabalu, semalam.

Dalam operasi 10 malam itu, dua beradik berusia 20 dan 21 tahun tergamam apabila melihat ibu bapa mereka ditahan selepas didapati positif syabu.

Pasangan berusia 45 dan 46 tahun adalah antara 15 yang ditahan dalam operasi ‘Op Cegah’ yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar bandar raya itu.

Difahamkan, ketika serbuan, pasangan terbabit bersama dua anaknya sedang tidur sebelum terkejut apabila rumah mereka diketuk anggota penguat kuasa AADK.

Bagaimanapun, hasil ujian saringan air kencing mendapati ibu bapa positif dadah dan mengaku baru melepaskan gian menghisap syabu, dua hari lalu.

Sementara itu, Pengarah AADK Sabah Abdul Hamediee Ibrahim berkata, Ops Cegah dijalankan membabitkan seramai 10 anggota AADK Sabah yang diketuai pegawai, Erwan Roslan.

“Serbuan dilakukan di beberapa lokasi antaranya di Bandaran, Kampung Teguli Putatan, Ulu Putatan, dan Kampung Sailan, Putatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Abdul Hamediee berkata, semua individu ditahan dibawa ke pejabat AADK Negeri Sabah untuk tindakan selanjutnya termasuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah di kawasan mereka boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK Sabah di talian 088-243576.

“Selain itu, maklumat juga boleh disampaikan secara terus di pejabat AADK berhampiran untuk tindakan proaktif dalam usaha membanteras masalah penyalahgunaan dadah di negeri ini,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 10:53 AM