SEBAHAGIAN penghantar Foodpanda memegang sepanduk berhubung skim pembayaran gaji baharu yang didakwa mengurangkan pendapatan mereka di Ayer Keroh, semalam.
SEBAHAGIAN penghantar Foodpanda memegang sepanduk berhubung skim pembayaran gaji baharu yang didakwa mengurangkan pendapatan mereka di Ayer Keroh, semalam.
Fairuz Zaidan


LEBIH 50 penunggang syarikat perkhidmatan penghantaran makanan dalam talian, foodpanda di negeri ini melancarkan mogok 18 jam, semalam.

Protes secara aman bermula jam 8 pagi itu sebagai membantah pelaksanaan skim pembayaran baharu diperkenalkan syarikat itu yang berkuat kuasa mulai hari ini kepada semua penunggangnya di luar Lembah Klang.

Pembantu Kapten Rider (ARC) Hang Tuah, Abdul Hadi Abdul Malik, 24, mendakwa penunggang perkhidmatan penghantaran makanan itu kecewa apabila pelaksanaan skim pembayaran baharu itu dibuat tanpa ada perbincangan lanjut.

“Kami hanya mahukan syarikat mengembalikan semula bayaran RM4 sejam yang selama ini dinikmati penunggang sambil mengekalkan insentif seperti sedia ada tanpa menuntut sebarang kenaikan lain.

“Dengan skim baharu ini, ia bersifat menekan dan membebankan penunggang yang selama ini bergantung kepada tempahan perkhidmatan makanan. Kami bukan mahu menentang syarikat, tetapi biarlah sebarang bentuk skim diperkenalkan itu bersifat situasi menang-menang,” katanya di kawasan lapang berhampiran Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini, semalam.

Beliau berkata, penunggang foodpanda di negeri ini ketika ini seramai 220 ahli termasuk penunggang separuh masa yang ditugaskan dalam dua zon iaitu di Hang Tuah dan Melaka Tengah.

Sementara itu, Mohd Amirudden Rosman, 24, mendakwa pendapatan penunggang foodpanda ada pasang surutnya terutama di kawasan seperti Melaka.

“Jika ada promosi dijalankan, pesanan untuk tempahan makanan meningkat. Begitu sebaliknya, tempahan akan turut terjejas apabila tiada promosi memandangkan pendapatan penunggang banyak bergantung kepada tempahan pelanggan,” katanya yang sudah lebih enam bulan berkhidmat secara sepenuh masa dengan foodpanda.

Seorang lagi penunggang, M Vinod, 26, mendakwa penunggang perkhidmatan penghantaran makanan itu tidak kisah ‘kebajikan’ mereka tidak diperjuangkan termasuk berhubung soal kematian dua penunggang syarikat itu di negeri ini akibat kemalangan jalan raya tahun ini.

“Jika sebelum ini penunggang mampu memperoleh sehingga RM1,200 seminggu, tetapi apabila sistem baharu ini diperkenalkan, pendapatan purata penunggang didakwa sekitar cuma RM300 seminggu. Saya yang masih bujang juga terbeban, bayangkan nasib penunggang yang mempunyai anak dan isteri,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di pekarangan Dataran MBMB itu menyaksikan sekumpulan penunggang sekadar berhimpun secara aman termasuk membawa sepanduk sebelum didekati dua penguat kuasa MBMB yang bertanyakan tujuan perhimpunan itu dibuat.

Malah, usaha wartawan untuk cuba membuat tempahan menerusi aplikasi foodpanda di bandar raya ini turut gagal apabila tiada perkhidmatan penghantaran ditawarkan oleh syarikat berkenaan buat masa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 6:10 AM