Sri Ayu Kartika Amri


SYARIKAT penghantaran makanan, Foodpanda melihat penerimaan baik menerusi skim pembayaran jarak jauh yang diperkenalkan baru-baru ini.

Ketua Logistik, Foodpanda Malaysia, Shubham Saran berkata, skim pembayaran baru itu dilaksanakan untuk penunggang Foodpanda di Lembah Klang.

Katanya, dengan skim pembayaran itu, penunggang kini dibayar berdasarkan jarak penghantaran dan ia dilancarkan secara berperingkat di seluruh Malaysia sejak sebulan lalu.

"Kami mendapat maklum balas positif daripada penunggang.

"Di samping jumlah pembayaran asas yang diterima bagi setiap pesanan, rider juga akan diberi pampasan untuk setiap tambahan kilometer yang mereka lalui selepas jarak 300 meter," katanya kepada Harian Metro.

Sebelum ini, terdapat aduan daripada Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) supaya skim pembayaran jarak jauh itu disemak semula agar tidak merugikan pihak penunggang Foodpanda.

Menjawab mengenai aduan berkenaan, Shubham berkata, pelaksanaan skim pembayaran jarak jauh itu adalah hasil daripada maklum balas dan cadangan yang diperoleh daripada penunggang Foodpanda sendiri.

"Pada minggu pertama skim diperkenalkan, kami menyaksikan pendapatan penunggang meningkat hingga 5.6 peratus untuk setiap pesanan.

"Sejak daripada itu, kami menerima maklum balas positif daripada rider," katanya.

Beliau berkata, Foodpanda turut mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan semua penunggangnya melalui beberapa inisiatif termasuk perlindungan insurans dan pembayaran Perkeso.

Berita berkaitan

Skim bayaran ikut jarak FoodPanda perlu disemak semula

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2020 @ 2:43 PM