GAMBAR tular di media sosial mengenai penunggang foodpanda mogok di Johor Bahru.
GAMBAR tular di media sosial mengenai penunggang foodpanda mogok di Johor Bahru.
Redzuan Muharam


SYARIKAT perkhidmatan penghantaran makanan dalam talian, foodpanda memberi jaminan skim pembayaran baharu yang berkuat kuasa 30 September ini akan memanfaatkan semua penunggangnya di luar Lembah Klang.

Pengarah Urusan foodpanda Malaysia, Sayantan Das berkata, penunggang juga tidak perlu khuatir kerana pelaksanaan skim itu membolehkan mereka bekerja dengan lebih fleksibel, memilih masa dan kawasan mengikut kesesuaian.

Katanya, syarikat juga akan memastikan adanya slot mencukupi bagi penunggang bekerja mengikut syif dipilih menerusi sistem kumpulan unik, yang turut bolehkan penghantaran untuk mereka mahu bekerja lebih masa.

Pada masa sama, beliau berkata, skim berkenaan memberi peluang kepada penunggang yang bekerja bebas (sambilan) menerima pendapatan lebih mengikut jumlah pesanan yang diterima.

“Sebagai contoh, penunggang yang sebelum ini menerima RM5 untuk setiap pesanan akan memperoleh RM7 selepas pelaksanaan skim berkenaan.

“Penunggang juga akan menerima insentif sebanyak RM100 sekiranya melengkapkan 60 jam bekerja dalam tempoh seminggu.

“Manakala, pendapatan tambahan sebanyak RM1 diberikan bagi setiap pesanan yang diterima daripada 11 malam hingga 9 pagi setiap hari, sementara bonus tambahan jika menerima minimum 80 pesanan daripada 30 September hingga 6 Oktober depan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sayantan berkata, senarai zon panas juga akan dimaklumkan bagi membolehkan setiap penunggang menerima lebih pesanan pada setiap syif.

“Penunggang memainkan peranan penting dalam perkhidmatan penghantaran, jadi keselamatan serta kebajikan mereka menjadi keutamaan syarikat.

“Buktinya, perlindungan insurans diberikan kepada semua penunggang dan semakan semula skim pembayaran itu juga akan memberi faedah kepada mereka,” katanya.

Semalam, tular di laman sosial mengenai sekumpulan penunggang foodpanda di Johor Bahru, Johor yang mogok dipercayai tidak berpuas hati dengan perubahan sistem pembayaran gaji (penunggang) sepenuh masa.

Dakwa mereka, sistem itu menyebabkan pendapatan diperoleh berkurangan berikutan jumlah penghantaran yang semakin mengecil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 5:45 PM