Syed Saddiq bersama penghantar makanan
Syed Saddiq bersama penghantar makanan
Amir Abd Hamid dan Mohd Hilmie Hussin


MENTERI Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu syarikat pengendali penghantaran makanan foodpanda, mengembalikan sistem pembayaran lama untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi penghantar makanannya.

Beliau berkata, tindakan itu perlu diambil segera untuk menyelesaikan isu dalam masa terdekat.

“Paling minimum menangani isu ini adalah kembalikan sistem lama bagi menjaga gaji mereka.

“Selepas mendengar sendiri rintihan daripada penghantar makanan yang datang dari seluruh negara ini, jelas tindakan melaksanakan sistem pembayaran baharu dibuat tergesa-gesa,” katanya pada sidang media di kediamannya di Petaling Jaya malam ini.

Sebelum itu Syed Saddiq mengadakan dialog bersama penghantar makanan foodpanda.

Menurutnya, penghantar makanan menggunakan modal sendiri seperti motosikal dan pelbagai lagi namun skim pembayaran baharu menyebabkan pendapatan mereka berkurangan 50 peratus berbanding sistem sebelum ini.

Katanya, lebih malang penghantar makanan itu diugut untuk ditamatkan perkhidmatan jika melakukan mogok.

Justeru Syed Saddiq berkata, beliau akan membentangkan kepada kabinet mengenai masalah dihadapi bukan saja penghantar makanan malah penggiat industri ekonomi gig.

“Saya akan bentangkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad isu membabitkan e-haiking dan gig ekonomi keseluruhannya.

“Perlu ada sistem undang-undang yang menjaga mereka,” katanya.

Lebih 100 penghantar makanan foodpanda dari Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perak dan Pulau Pinang hadir dalam dialog berkenaan.

Menurutnya, syarikat terbabit mengawal hampir 90 peratus pasaran penghantaran makanan menyebabkannya memonopoli sehingga wujud unsur penindasan.

Sementara itu, beberapa isu diluahkan penghantar makanan foodpanda dalam pertemuan selama sejam setengah itu.

Antaranya, mereka menyifatkan bekerja tanpa kebajikan seperti ketiadaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Socso.

“Setiap kali kemalangan, wakil daerah atau hab (rc) susah nak turun membantu sedangkan kemalangan adalah perkara biasa untuk kami.

“Sepatutnya mereka membantu sebab kebanyakan kami tiada pengetahuan mengenai insurans. Selain itu, 14 jam kami bekerja tiada jaminan.

“Melalui sistem baru, ibarat kami burung (ke sana ke mari) tanpa dibayar. Padahal kami menggunakan aset sendiri seperti motosikal dan kos minyak serta telefon dan bil tetapi kami jadi hamba walaupun sepatutnya rakan niaga,” kata penghantar makanan yang mewakili Negeri Sembilan.

Selain itu, ada mengadu bahawa syarikat mendapat publisiti pemasaran percuma menerusi beg dan baju dipakai penghantar makanan setiap hari namun mereka terpaksa bayar deposit untuk barangan itu.

Aduan lain mereka berharap Syed Saddiq meminta Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran masuk campur kerana ia membabitkan kebajikan pekerja.

Rata-rata mereka meminta skim lama dikekalkan iaitu penghantar dibayar RM4 sejam dan mendapat bayaran tambahan bagi setiap pesanan manakala bayaran pesanan adalah di antara RM3 hingga RM5 berdasarkan prestasi penghantar.

Dalam skim baru yang berkuatkuasa hari ini bagi penghantar makanan di luar Lembah Klang, bayaran mengikut jam dimansuhkan tetapi pada masa sama bayaran setiap pesanan dinaikkan kepada antara RM4.50 hingga RM7.

Berita berkaitan

Foodpanda nilai semula kebajikan 'riders' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 12:53 AM