MOHD IZWAN. FOTO Mikail Ong
MOHD IZWAN. FOTO Mikail Ong
Shamsul Munir Safini


KONTRAKTOR diarah membela diri oleh Mahkamah Tinggi Georgetown, bagi pertuduhan mengedar 1.17 kilogram kanabis (ganja), dua tahun lalu.

Hakim Datuk Akhtar Tahir di akhir kes pendakwaan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie ke atas tertuduh, Mohd Izwan Masdokhi, 41.

“Berdasarkan bukti yang dikemukakan, mahkamah berpuas hati bahawa dadah berada di hadapannya ketika serbuan dilakukan pada hari kejadian.

“Tertuduh diarah untuk membela diri terhadap tuduhan,” katanya.

Mohd Izwan diwakili peguam Maanveer Singh Dhillon, sementara pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yasinnisa Begam Seeni Mohideen.

Tertuduh memilih untuk memberikan keterangan di kandang tertuduh dan Maanveer berkata, tiada saksi akan dipanggil selain tertuduh.

Mohd Izwan didakwa melakukan perbuatan itu Villa Sri Kenanga, Batu Uban, pada 22 Disember 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Akhtar menetapkan 21 Oktober ini sebagai tarikh tertuduh membela diri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 1:44 PM