Shamsul Munir Safini


ENAM tertuduh termasuk seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengaku tidak bersalah terhadap 13 pertuduhan termasuk membuat, memalsukan dan menjual dokumen pengenalan diri di Georgetown, hari ini.

Pertuduhan itu dibacakan di dua Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Di Mahkamah Tinggi 1, tertuduh, Datuk Lai Chin Wah, 56; Mohd Faizal Tan Abdullah, 66; Yap Cheng Wah, 44, dan Mohd Faizul Ariffin, 34, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Akhtar Tahir.

Mohd Faizul yang juga Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang didakwa membuat dan memalsukan MyKad serta sijil kelahiran atas nama individu disyaki warga China iaitu Ewe Chor Beng di Ibu Pejabat JPN negeri di Georgetown, antara Januari hingga Februari tahun lalu.

Lai, Mohd Faizal Tan dan Yap didakwa menjual sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama individu sama iaitu Ewe di sekitar Georgetown, antara Januari hingga Februari lalu.

Lai turut berdepan pertuduhan menjual pasport atas nama Ewe pada tempat dan tarikh sama.

Di Mahkamah Tinggi 6, tertuduh, Chien Guan Chai, 36, dan Loh Chan Cheong, 34, turut mengaku tidak bersalah di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Radzi Abdul Hamid.

Kedua-duanya didakwa menjual sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama Ewe di sekitar Georgetown antara Januari hingga Februari lalu.

Semua mereka dituduh mengikut Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan boleh dihukum penjara antara tujuh tahun hingga 15 tahun dan denda antara RM50,000 hingga RM500,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, di Mahkamah Tinggi 1, Pengarah Pendakwaan negeri, Yusaini Amer Abdul Karim memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan serentak kepada enam tertuduh bagi menjimatkan masa mahkamah, selain kes membabitkan saksi dan pertuduhan hampir sama.

Bagaimanapun, tindakan itu dibantah semua peguam keenam-enam tertuduh dengan alasan permohonan dikemukakan Yusaini tidak sesuai dan peguam belum memperoleh dokumen diperlukan daripada pihak pendakwaan.

Akhtar kemudiannya bersetuju dengan hujahan Yusaini dan membenarkan semua tertuduh dibicarakan bersama bermula 6 hingga 10 April tahun hadapan.

Sementara itu, Yusaini memberitahu mahkamah akan memanggil 30 saksi, selain memohon mahkamah mengambil keterangan awal terhadap saksi yang juga warga China, Wang Dequn atau dikenali sebagai Ewe, yang akan dibebaskan pada 13 November ini.

Akhtar menetapkan tarikh 29 hingga 31 Oktober ini bagi mendengar keterangan awal Wang Dequn dan 10 Oktober hadapan sebagai tarikh penyerahan dokumen serta sebutan semula kes.

Di Mahkamah Tinggi 6, Mohd Radzi memutuskan semua keputusan ditetapkan di Mahkamah Tinggi 1 turut terpakai kepada kedua-dua tertuduh.

Dalam perkembangan berasingan di Mahkamah Sesyen Georgetown, Hakim Mazdi Abdul Hamid menetapkan 14 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula 19 pertuduhan kes mengikut Seksyen 466 Kanun Keseksaan dan Peraturan 25 (1) (i) Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 4:39 PM
ANGGOTA polis mengiringi enam tertuduh kes menjual dokumen pengenalan diri termasuk sijil kelahiran dan MyKad di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Georgetown, hari ini. FOTO Mikail Ong.
ANGGOTA polis mengiringi enam tertuduh kes menjual dokumen pengenalan diri termasuk sijil kelahiran dan MyKad di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Georgetown, hari ini. FOTO Mikail Ong.