Tunku Ali mencemar duli merasmikan Pesta Kovokesyen USIM di Kompleks Sukan Tuanku Najihah, hari ini. FOTO Adzlan Sidek
Tunku Ali mencemar duli merasmikan Pesta Kovokesyen USIM di Kompleks Sukan Tuanku Najihah, hari ini. FOTO Adzlan Sidek
Khairul Najib Asarulah Khan


PESTA Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ke-15 yang bermula semalam hingga Khamis ini diyakini akan dihadiri lebih 35,000 pengunjung berikutan pelbagai aktiviti menarik dianjurkan.

Naib Canselor USIM Prof Datuk Dr Musa Ahmad berkata, pesta sepanjang enam hari itu adalah bersempena konvokesyen yang akan berlangsung pada Selasa hingga Khamis ini.

Katanya, pihaknya menganjurkan banyak aktiviti sampingan antaranya Larian Noctural 2.0, pembukaan 20 gerai jualan, pertandingan catur, pentas da'ie, kejohanan bola sepak dan persembahan muzik jalanan.

“Selain itu, pertandingan mengeja dengan betul, forum perdana hal ehwal Islam, pertunjukan badan beruniform, pertandingan taip dengan pantas, konsert malam gema Tadabbur Rububiyyah dan forum perbandingan Sains.

"Majlis dan pesta konvokesyen dikendalikan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan mantan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2016/ 2017. Melalui pelbagai pengisian aktiviti diharap memeriahkan istiadat berkenaan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Kovokesyen itu di Kompleks Sukan Tuanku Najihah, hari ini.

Majlis disempurnakan Pro-Canselor USIM Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.

Dr Musa berkata, seramai 2,564 graduan akan menerima ijazah sarjana muda, diploma lepasan ijazah, sarjana dan doktor falsafah (PhD) pada konvokesyen itu.

Katanya, ia membabitkan 86 penerima PhD, sarjana (149), diploma lepasan ijazah (64) dan sarjana muda (2,263).

Dalam perkembangan sama katanya, USIM akan melancarkan USIMBIOSIS 2.0 pada Selasa ini bagi menggerakkan budaya kitar semula.

"Ia adalah kesinambungan program pertama pada 20015 bagi meneruskan aktiviti kelestarian alam sekitar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 7:09 PM