HELLINA  menunjukkan  ijazah yang diterima kepada suaminya, Amru Asyraf Mohamed Sabri.
HELLINA menunjukkan ijazah yang diterima kepada suaminya, Amru Asyraf Mohamed Sabri.
myMetro

Shah Alam: “Peluang menghadiri istiadat konvokesyen bukan dikecapi setiap hari dan saya menguatkan semangat untuk datang walaupun doktor meminta saya berehat di rumah,” kata Hellina Ahmad Kamil, 32, graduan Sarjana Pentadbiran Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Dia yang baru melahirkan cahaya mata ketiga menerusi pembedahan dua minggu lalu hadir ke Dewan Agung Tuanku Canselor di sini, semalam, dengan berkerusi roda untuk memperoleh ijazah yang disampaikan Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Arshad Ayub.

Katanya, walaupun masih terasa sakit akibat luka pembedahan belum sembuh, dia bersyukur kerana masih berupaya berdiri dan berjalan di atas pentas untuk mengambil ijazahnya itu.

“Ia adalah pembedahan Ceasarian ketiga untuk saya dan ada pelbagai komplikasi berlaku sehingga doktor nasihatkan supaya hanya berehat di rumah. Namun, saya kekal bersemangat untuk hadir ke istiadat ini dan bergerak dari rumah di Perak dengan menaiki kereta, jam 3.30 pagi tadi (semalam).

“Saya tidak boleh banyak bergerak tetapi syukur segalanya berjalan lancar dan saya bangga kerana penat lelah selama dua tahun belajar akhirnya membuahkan hasil,” katanya ketika ditemui selepas Sidang Kedua Istiadat Konvokesyen UiTM ke-85 di sini, semalam.

Hellina yang kini bekerja sebagai Eksekutif Sumber Manusia di Universiti Teknologi Petronas (UTP) itu juga berhasrat menyambung pengajiannya ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) di universiti sama dalam masa terdekat.

Seramai 2,062 graduan sarjana dan ijazah sarjana muda menerima ijazah masing-masing disampaikan Pro-Canselor, Tan Sri Arshad Ayub pada Sidang Kedua Istiadat Konvokesyen UiTM ke-85.

Sementara itu, graduan Sarjana Pengurusan Hospitaliti yang menerima Anugerah Naib Canselor (ANC), Nor Hisyam Seliman, 37, menyifatkan dunia pembelajaran masa kini lebih mencabar dan graduan perlu bersaing sesama sendiri untuk lebih menonjolkan diri selain memanfaatkan perkembangan teknologi untuk berjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2016 @ 8:02 AM