ANGGOTA polis membawa mayat pelajar yang terkena renjatan elektrik ketika mengait umpan tiruan tersangkut di talian elektrik di Padang Melintang, Tawang, Bachok. FOTO ihsan pembaca.
ANGGOTA polis membawa mayat pelajar yang terkena renjatan elektrik ketika mengait umpan tiruan tersangkut di talian elektrik di Padang Melintang, Tawang, Bachok. FOTO ihsan pembaca.
Muhamaad Razis Ismail


PELAJAR tingkatan satu maut selepas terkena renjatan elektrik ketika mengait umpan tiruan yang tersangkut di talian elektrik di Padang Melintang, Tawang, Bachok, pagi ini.

Dalam kejadian 10.50 pagi itu, mangsa berusia 13 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, sebelum kejadian mangsa bersama dua rakannya ke tempat kejadian untuk mengait umpan tiruan yang terlekat di talian elektrik.

Beliau berkata umpan terbabit dikatakan terlekat pada di situ petang semalam.

“Mangsa menggunakan galah buluh basah dan menyebabkannya terkena renjatan elektrik dan terus tidak sedarkan diri.

“Sebaik melihat kejadian itu, rakan mangsa memaklumkan kepada keluarganya.

“Pihak Klinik Kesihatan Beris Kubur Besar yang ke lokasi kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata mayat dibawa ke Unit Forensik HRPZ II untuk siasatan lanjut bagi mendapatkan sebab kematian.

Menurutnya, hasil bedah siasat mengesahkan kematian akibat terkena renjatan elektrik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 11:49 PM