Kes hadhanah dan nafkah di MSWP dijangka dikurangkan kepada enam bulan. Gambar kecil Dr Mohd Na’im. FOTO Arkib NSTP
Kes hadhanah dan nafkah di MSWP dijangka dikurangkan kepada enam bulan. Gambar kecil Dr Mohd Na’im. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

PENYELESAIAN kes hadhanah (hak penjagaan anak) dan nafkah di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) dijangka dapat dikurangkan daripada 14 bulan kepada enam bulan menerusi program pengkhususan pengendalian dua kes itu serta pewujudan Bahagian Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah.

Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kepatuhan terhadap perintah yang dikeluarkan juga dapat dipertingkatkan melalui pewujudan bahagian itu yang bertindak untuk memantau, menguatkuasa dan melaksanakan perintah.

Katanya, pelaksanaan program itu menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada di bawah Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993, Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 dan Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1998.

“Dua elemen penting dalam pelaksanaan program ini adalah memendekkan tempoh pengendalian kes dan meningkatkan tahap pematuhan setiap perintah yang dikeluarkan Mahkamah Syariah.

“Kedua-dua elemen ini akan memberikan nilai tambah dan persepsi positif terhadap perkhidmatan keadilan di Mahkamah Syariah dan dalam masa sama dapat memberikan manfaat kepada masyarakat Islam di Malaysia serta di Wilayah Persekutuan,” katanya ditemui dalam program Media Tour dan taklimat mengenai pelaksanaan program itu di MSWP Kuala Lumpur hari ini.

Program yang mendapat kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Mei lalu itu memfokuskan kepada penambahbaikan pengurusan pendaftaran dan pengendalian kes hadhanah serta nafkah, penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah melalui pewujudan dua Dewan Mahkamah Tinggi Syariah (Bahagian Hadhanah dan Nafkah) dan dua Dewan Mahkamah Rendah Syariah (Bahagian Nafkah) serta Bahagian Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah di MSWP.

Pelaksanaan program itu menelan kos RM3 juta merangkumi perbelanjaan membabitkan ubah suai, kelengkapan logistik serta peralatan teknologi maklumat RM1 juta dan perbelanjaan emolumen 32 perjawatan baharu RM2 juta.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im yang juga Ketua Hakim Syarie berkata, sebuah dewan Mahkamah Rendah Syariah (Bahagian Nafkah) di MSWP yang dikendalikan Hakim Syarie Abdullah Zuhdee Ab Halim sudah beroperasi dan menerima pendaftaran kes pertama 3 September lalu.

Katanya, sehingga hari ini sembilan kes berkaitan tuntutan nafkah sudah didaftarkan dan kini berada di peringkat Majlis Sulh iaitu penyelesaian suatu pertikaian antara pihak yang bertikai dalam sesuatu isu dengan cara persetujuan bersama.

“Pelaksanaan program ini diharap dapat menjadi pencetus kepada usaha pemerkasaan Mahkamah Syariah di seluruh negara dan mendapat kerjasama daripada semua pihak untuk dilengkapkan serta direalisasikan sebagaimana pakej keseluruhan program dirangka dan diluluskan Mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk program itu berkata, dalam tempoh tiga tahun sejak 2016, 5,798 kes hadhanah, nafkah dan kes berkaitan dikendalikan oleh MSWP.

“Saya yakin dengan adanya program ini dapat memberi pendedahan kepada orang ramai untuk mendaftar selain menjimatkan masa mahkamah tanpa perlu melalui proses perbicaraan,” katanya.

Terdahulu, anggota media dibawa MSWP melawat galeri, kaunter pendaftaran, Seksyen Sulh dan Dewan Mahkamah Rendah Syariah (Bahagian Nafkah).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 9:40 PM