- Foto hiasan
- Foto hiasan
Oleh Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Proses perceraian menerusi laluan pantas atau 'fast track' yang diperkenalkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) berjaya menyelesaikan kes cerai dalam masa sehari.

Di Kuala Lumpur, perkhidmatan 'fast track' yang diperkenalkan pada 2021 itu berjaya menyelesaikan 4,743 kes dengan 797 kes atau 100 peratus selesai di dewan mahkamah manakala 1,660 kes atau 99.75 peratus selesai pada 2022 dan 2,286 kes atau 97.56 peratus selesai pada 2023.

Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) Mohd Asri Tahir berkata, pendaftaran permohonan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Laluan Pantas (Fast Track) di Kuala Lumpur pada 2023 merekodkan 881 kes.

"Perkhidmatan fast track ini disediakan untuk memastikan pihak-pihak mendapat hak keadilan secepat mungkin yang mana kes mereka akan didengar, diadili dan diberikan perintah bertulis daripada mahkamah pada hari yang sama kes didaftarkan.

"Terdapat lima kes dikategorikan sebagai 'fast track' iaitu tuntutan perceraian, permohonan pengesahan lafaz cerai, permohonan pengesahan rujuk, permohonan wali hakim dan permohonan perintah bersaling.

"Kelima-lima kes ini boleh didaftarkan di Mahkamah Rendah Syariah Fast Track dalam keadaan semua pihak mempunyai persetujuan bersama, namun perlu diingatkan, apa yang penting ialah dokumen lengkap disediakan untuk membolehkan kes didaftarkan," katanya.

Mohd Asri berkata, perkhidmatan laluan pantas itu memberi kesan positif ke arah pengurangan kes yang tertangguh di mahkamah syariah sekali gus mempertingkatkan reputasi perkhidmatan mahkamah syariah kepada pelanggan MSWP khususnya dan masyarakat Wilayah Persekutuan umumnya.

"Perkhidmatan ini juga menghasilkan satu penambahbaikan dalam memastikan keadilan pihak-pihak dapat disampaikan dalam tempoh masa yang singkat iaitu kes dapat diselesaikan dalam hari yang sama kes didaftarkan.

"Selain itu, perkhidmatan ini mendapat maklum balas positif daripada pelanggan yang menyatakan dengan adanya fast track ini dapat mengurangkan tempoh masa dan kos untuk hadir ke mahkamah," katanya.

Ditanya adakah perkhidmatan laluan pantas ini terdapat di semua negeri, Mohd Asri berkata, setakat ini hanya MSWP yang memberi perkhidmatan menyediakan dewan khusus bagi pengendalian kes berkaitan tuntutan perceraian, permohonan pengesahan lafaz cerai, permohonan pengesahan rujuk, permohonan wali hakim dan permohonan perintah bersaling melalui laluan pantas.

Katanya, perkhidmatan 'fast track' ditambah baik dengan meluaskan perkhidmatannya ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya mulai 6 Mac lalu.

Mohd Asri berkata, sebelum perkhidmatan itu diperkenalkan, pihak berkenaan perlu menunggu dalam tempoh 21 hari untuk mendapatkan tarikh sebutan di hadapan hakim selepas kes difailkan di mahkamah.

Pewujudan sistem itu katanya, mengurangkan kes tertunggak, sekali gus meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan MSWP.

Dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, beliau berkata, selain dewan laluan pantas, MSWP juga mewujudkan dewan mahkamah khusus untuk pengendalian kes hadhanah, nafkah serta jenayah supaya pengendalian kes menjadi lebih cekap.

Ditanya apakah aduan paling banyak diterima mahkamah syariah setakat ini, katanya, aduan berkaitan pihak yang tidak berpuashati dengan keputusan mahkamah bicara.

"Bagaimanapun, tindakan kepada isu ini, pihak-pihak bolehlah memfailkan semakan atau rayuan ke mahkamah lebih tinggi iaitu Mahkamah Tinggi Syariah atau Mahkamah Rayuan Syariah.

"Sebarang aduan di mahkamah syariah boleh disalurkan secara emel ke [email protected] atau melalui Sistem Pengurusan Pengaduan Awam (SISPAA)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 7:02 AM