JAMIL Khir (tengah) merasmikan pengisytiharan Penubuhan Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah.
JAMIL Khir (tengah) merasmikan pengisytiharan Penubuhan Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah.
Siti Salmiah A Hamid

Kuala Lumpur: Inisiatif penubuhan Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah bukan saja dapat mempercepatkan penyelesaian masalah perkahwinan dan perceraian difailkan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP), malah mampu membantu mengurangkan kes isteri tergantung tidak bertali.

Mahkamah khas ini beroperasi dengan serta-merta sebaik diisytiharkan penubuhannya secara rasmi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, semalam.

Mahkamah ini juga bertanggungjawab memastikan setiap perintah yang dikeluarkan oleh MWSP dilaksanakan dengan sempurna menerusi saluran Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah berpandukan undang-undang sedia ada.

Jamil Khir berkata, mahkamah sedemikian yang pertama ditubuhkan di Malaysia, tidak memerlukan pindaan undang-undang atau akta kerana ia kekal di bawah bidang kuasa MSWP.

“Kebiasaannya, proses membabitkan perceraian, menuntut nafkah dan hak penjagaan mengambil tempoh panjang hingga muncul tanggapan masyarakat bahawa perkhidmatan di Mahkamah Syariah dibuat dengan perlahan,” katanya pada sidang media majlis pengisytiharan berkenaan di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Datuk Mukhyuddin Ibrahim, Ketua Hakim Syarie Wilayah Persekutuan Ibrahim Deris dan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.

Mengikut statistik, pendaftaran kes di MSWP bagi 2013 hingga 2017 berjumlah 50,521 kes manakala bagi 2016, jumlahnya 11,066 kes.

Jamil Khir berkata, inovasi ini mengumpulkan pakar perundangan seperti hakim dan peguam untuk mencari pendekatan bagi mempercepatkan proses perkahwinan atau perceraian.

“Semoga ia mampu menyelesaikan masalah rakyat dengan telus, malah menjadi ikutan di negeri lain pula,” katanya.

Mengulas penubuhan Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah, Rohani berkata, beliau berharap mahkamah sedemikian dapat diperluaskan ke negeri lain, terutama Selangor yang mempunyai permohonan perceraian tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 11:10 AM