Suraya Roslan


KEADAAN cuaca berjerebu dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat di ibu negara tidak menghalang pelancong dan warga tempatan keluar sempena cuti umum Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.

Tinjauan di Dataran Merdeka dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mendapati pelancong dari pelbagai negara membanjiri kawasan tumpuan itu untuk mengambil gambar walaupun berlatar belakang bangunan agak 'kelam' akibat jerebu.

Hari ini, sembilan stesen mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat dengan bacaan melebihi 100 iaitu dua stesen di Semenanjung Malaysia dan tujuh stesen di Sarawak.

Stesen berkenaan di Cheras, Kuala Lumpur; Nilai, Negeri Sembilan manakala Kuching, Sri Aman, Samarahan, Sibu, Sarikei, Miri dan Mukah di Sarawak.

Menerusi kenyataan Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini, asap jerebu dari kelompok titik panas di Riau, Jambi dan kepulauan Bangka yang dipengaruhi oleh angin lazim dari arah tenggara mengarah ke arah barat daya memberi kesan jerebu rentas sempadan ke arah Semenanjung Malaysia.

Seorang penuntut universiti dari Riau, Indonesia, Echia Srikandi Permai, 20, berkata, keadaan di Riau ketika ini lebih teruk berbanding di Malaysia.

“Ketika ini, penduduk di Riau sudah tidak boleh melakukan aktiviti luar rumah berikutan tanah gambut di sana terbakar, apabila disimbah air, asap tebal akan naik ke udara.

“Keadaan di Malaysia masih tidak teruk berbanding di kampung halaman saya, orang Malaysia ketika ini masih boleh keluar dari rumah seperti biasa," katanya yang ketika ini menjalani program pertukaran di Universiti Malaya.

Seorang lagi pelancong dari Jambi, Indonesia, Amelia Yunira Prathwi, 26, berkata, di Malaysia dia masih boleh berjalan dan keluar dari hotel seperti biasa.

“Saya tidak rasa pula keadaan berjerebu, tidak seperti di kampung halaman saya di Jambi yang jerebunya kelihatan seperti asap tebal.

“Kami di sana sudah diwajibkan memakai masker (topeng muka) dan keadaan di sini (Malaysia) agak berbeza kerana rata-rata orang tempatan tidak memakainya walaupun IPU mencatatkan tahap tidak sihat," katanya yang datang bercuti ke ibu kota selama tiga hari.

Manakala Alea, 34, dari Sabah berkata, dia memakai topeng muka kerana cuaca kurang baik akibat jerebu.

“Saya sudah mula rasa sakit tekak akibat cuaca berjerebu di ibu kota.

“Sudah beberapa hari saya memakai topeng muka sebaik keluar rumah.

“Selain keadaan berjerebu, cuaca yang panas membuatkan orang ramai perlu mengehadkan aktiviti di luar rumah terutama kanak-kanak," katanya.

Sementara itu, semua masjid di seluruh negara disaran melaksanakan solat sunat Istisqa bagi memohon hujan dan mengurangkan masalah jerebu yang melanda beberapa kawasan di Malaysia sekarang.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, pihaknya memohon kerjasama pentadbir agama Islam negeri untuk berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 6:00 PM
PEMANDANGAN di Kuala Lumpur yang dirakam pada 1 tengah hari ini diselubungi jerebu yang teruk. FOTO Supian Ahmad.
PEMANDANGAN di Kuala Lumpur yang dirakam pada 1 tengah hari ini diselubungi jerebu yang teruk. FOTO Supian Ahmad.