Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Khairul Najib Asarulah Khan


PENJUAL nasi lemak hilang pelbagai barangan peribadi selepas diperdaya lelaki yang mendakwa sebagai pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan di Jalan Gajah 14, Kampung Kubu Gajah Dalam di Sungai Buloh pada Jumaat lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields Superintendan Arifai Tarawe berkata, wanita berusia 59 tahun itu sedang menjual nasi lemak bersama adiknya sebelum dihampiri lelaki berkenaan kira-kira 9 pagi.

Menurutnya, suspek itu mendakwa dirinya sebagai ASP Wan Faizul daripada Bahagian Istana Negara sedang mencari pembekal nasi lemak untuk dibekalkan ke istana selama tiga bulan.

“Selepas itu, suspek membawa mangsa bersama suami dan adiknya menaiki keretanya untuk ke Muzium Istana Negara.

“Suspek kemudiannya meminta kesemua mereka meninggalkan barang berharga di dalam kereta terbabit kerana ia tidak boleh dibawa masuk ke istana.

“Namun, sebaik mereka turun daripada kereta itu, dia (suspek) terus memecut laju dan meninggal mereka.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa bersama suami dan adiknya kehilangan wang tunai, jam tangan, cincin dan beberapa telefon bimbit yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM3,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arifai berkata, semakan terhadap nombor pendaftaran Honda Civic warna hitam yang digunakan suspek mendapati ia adalah nombor pendaftaran motosikal.

“Pihak Istana Negara juga mengesahkan tidak wujud penama ASP Wan Faizul bertugas di sana.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta hubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, 03-22979222 atau pegawai penyiasat Inspektor Yeo Joo Boon di talian 016 5159755,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 7:27 PM