SEBAHAGIAN penduduk terpaksa mengharungi air untuk ke tempat kerja berikutan fenomena air laut pasang besar yang mencecah paras 5.6 meter, hari ini. FOTO BERNAMA
SEBAHAGIAN penduduk terpaksa mengharungi air untuk ke tempat kerja berikutan fenomena air laut pasang besar yang mencecah paras 5.6 meter, hari ini. FOTO BERNAMA
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Beberapa kawasan di Selangor mengalami banjir kilat susulan fenomena air pasang besar yang berlaku sejak semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, antara kawasan terbabit adalah Bagan Sekinchan dan Pantai Batu 23 di Sekinchan; Pantai Remis di Kuala Selangor; Jeti Pelabuhan Klang, Jeti Pulau Indah serta Telok Gong; Jeti Tok Muda Kapar serta Bagan Sungai Lang, Bagan Parit Baru dan Bagan Nakhoda Omar (Sabak Bernam).

"Hanya limpahan kecil berlaku menyebabkan banjir kilat yang dianggarkan setinggi 0.2 meter hingga 0.3 meter mengikut kawasan (tinggi dan rendah).

"Air mula naik sekitar 6.30 pagi dan kembali surut dalam tempoh satu jam dan keadaan terkawal," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam pada itu, Norazam turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa memantau keadaan cuaca dan sekiranya hujan lebat serta air laut pasang berlaku serentak, mereka perlu bersedia untuk berpindah ke tempat selamat.

"Pastikan keselamatan anak agar mereka tidak bermain di kawasan air.

"Penduduk dinasihatkan bersedia dari awal dengan memastikan dokumen penting disimpan tempat selamat serta memastikan semua punca kuasa elektrik ditutup dan meletakkan peralatan elektrik di tempat tinggi," katanya.

Fenoman air pasang besar di pesisiran pantai Selangor bermula semalam dan dijangka berakhir pada Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 9:19 PM