Faliq Lajim

HARI terakhir fenomena air pasang besar di Klang menyaksikan keadaan masih terkawal di kawasan pantai dan pelabuhan di daerah itu.

Hanya sedikit limpahan air laut yang memasuki longkang utama di beberapa kawasan.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, cuaca baik dengan tiada angin kencang malam tadi dipercayai menyebabkan paras air laut tidak melepasi ketinggian ban pada enam meter (m) di pesisir pantai.

Beliau berkata, walaupun terdapat sedikit limpahan di beberapa jalan di sekitar daerah ini berikutan air laut masuk ke dalam longkang, perkara itu adalah biasa.

BOMBA memantau keadaan di Terminal Penumpang South Port. FOTO Faiz Anuar
BOMBA memantau keadaan di Terminal Penumpang South Port. FOTO Faiz Anuar

“Pada pagi tadi, pemantauan dibuat dari jam 5 pagi hingga 7.30 pagi dengan paras tertinggi direkodkan pada jam 7.13 pagi dengan ketinggian 5.5 m dan keadaan semuanya terkawal.

“Pada petang ini, kira-kira jam 5 petang nanti, kita akan lakukan rondaan sekali lagi berikutan air pasang dijangka mencecah ketinggian 5.1 m pada 7.31 malam nanti,” katanya.

Beliau ditemui ketika membuat tinjaun di bersama beberapa agensi di Terminal Penumpang South Port, Pelabuhan Klang, pagi ini.

Antara agensi yang terbabit memantau fenomena air pasang termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) dan Skuad Pantas Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Fenomena air pasang dijangka berakhir petang nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 10:06 AM