LAPORAN portal Harian Metro mengenai kanak-kanak berusia 10 tahun  dikhuatiri lemas di Kuala Krai.
LAPORAN portal Harian Metro mengenai kanak-kanak berusia 10 tahun dikhuatiri lemas di Kuala Krai.
Syaherah Mustafa


“ANAK saya tak pandai berenang, namun saya berharap sangat dia ditemui dengan selamat,” kata Zizah Awang, 42.

Zizah adalah ibu kepada kanak-kanak berusia 10 tahun yang dikhuatiri lemas selepas bot dinaikinya terbalik di Sungai Pasir Linggi, Kuala Krai, semalam.

Dalam kejadian 5 petang itu, mangsa, Ismaniza Atira Ismail, 10, bersama enam ahli keluarganya menaiki bot menyeberangi sungai untuk pulang ke rumah bapa saudaranya di Kampung Pasir Linggi, namun bot itu tiba-tiba terbalik.

Enam mangsa yang lain, termasuk bapa saudaranya selamat berenang ke tebing sungai, namun mangsa tidak dapat diselamatkan dan dibawa arus.

Zizah berkata, anaknya meminta izin untuk pergi ke rumah bapa saudara dan dia membenarkannya kerana mangsa memang rapat dengan keluarga itu.

“Luluh hati saya apabila mendapat berita anak keempat daripada enam beradik ini hilang, namun saya berdoa semoga dia ditemui selamat selagi jasadnya belum ditemui.

“Kami sekeluarga ada membuat solat hajat sebagai ikhtiar supaya dipermudahkan urusan untuk menemuinya. Seluruh ahli keluarga saya terkesan dengan kejadian ini.

“Dia seorang anak yang baik dan tidak sangka rasa terujanya untuk menghabiskan masa cuti sekolah berakhir dengan kejadian ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zizah yang tinggal di Perumahan Taman Krai berkata, dia akan terus berdoa semoga anaknya itu ditemui dalam keadaan apa sekalipun.

“Apa yang saya perlukan sekarang ialah sokongan dan kekuatan daripada semua supaya saya tabah menerima ketentuan Illahi, namun berharap anak masih hidup.

“Terima kasih atas bantuan pihak bomba dan agensi keselamatan lain yang bertungkus lumus dalam misi mencari anak saya,” katanya.

Berita berkaitan

Bot terbalik, budak perempuan dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 2:32 PM