PITT menaiki sebuah bot untuk memancing selepas mereka menamatkan penggambaran filem terbabit jam 9 pagi. FOTO: FACEBOOK Pitt Hanif
PITT menaiki sebuah bot untuk memancing selepas mereka menamatkan penggambaran filem terbabit jam 9 pagi. FOTO: FACEBOOK Pitt Hanif
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PENGARAH filem Mohd Firdaus Mohamad Hanif, 43 atau Pitt Hanif dikatakan cuba berenang selepas bot yang dinaiki terbalik ketika memancing di Sungai Mela, Kuala Lipis, Pahang, semalam.

Seorang kru produksi filem Coast Guard berkata, kejadian jam 11 pagi itu disaksikan isteri jurukamera Sham Mokhtar, 38.

Terdahulu katanya, Pitt dan Sham menaiki sebuah bot untuk memancing selepas mereka menamatkan penggambaran filem terbabit jam 9 pagi.

"Ketika melakukan aktiviti berkenaan (memancing), bot yang dinaiki dipercayai melanggar tiang sebuah jambatan menyebabkannya terbalik dan terbelah dua.

"Sebaik terjatuh, Sham dapat berenang ke tepi tebing (untuk menyelamatkan diri) namun sebaliknya berlaku terhadap Pitt," katanya.

Kata kru produksi terbabit, Pitt cuba berenang namun dibawa arus deras hingga menenggelamkannya.

Menurutnya, ketika kejadian kedua-dua mereka dipercayai tidak memakai jaket keselamatan.

"Buat masa ini usaha mencari dan menyelamat (SAR) masih dilakukan pihak berkuasa dan kami mendoakan yang baik buatnya (Pitt)," katanya.

Menurutnya lagi, Pitt yang juga anak kepada pelakon terkenal Fauziah Nawi sememangnya kaki pancing dan pernah mengikuti latihan berenang.

"Kami mengharapkan keajaiban dan memohon rakyat Malaysia mendoakan keselamatannya," katanya.

Portal berita akhbar ini semalam melaporkan Pitt dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada bot ketika memancing di sungai berkenaan.

Dalam kejadian jam 11 pagi, jurukamera yang juga Pengarah Fotografi filem itu dapat menyelamatkan diri namun Pitt gagal ditemui.

Berita berkaitan

'Anak Fauziah Nawi dikhuatiri lemas'

'Radius 3km cari Pitt Hanif’

'Saya tahu awak kuat Pitt' - Farah

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Oktober 2019 @ 1:25 PM