PAK Nasir berlatih setiap hari sejak dua bulan lalu. FOTO Ihsan Nasir Abas.
PAK Nasir berlatih setiap hari sejak dua bulan lalu. FOTO Ihsan Nasir Abas.
Zuliaty Zulkiffli


PELARI warga emas, Nasir Abas dijangka mencatat nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi larian sejauh 540 kilometer (km) dalam tempoh 12 hari, sempena sambutan kemerdekaan negara.

Dia dikenali Pak Nasir berusia 64 tahun, merancang larian itu dari Dataran Alor Setar, Kedah ke Shah Alam, Selangor dan pelepasan bermula 8 pagi esok.

Dia akan ditemani rakannya, Krishnan Andy, 61, yang juga pesara tentera.

Ia adalah larian ke-17 buatnya dan empat tahun berturut-turut mengadakan Larian Merdeka, manakala ketiga buat Krishnan.

“Persediaan sudah dilakukan sejak dua bulan lalu, malah setiap pagi dan petang saya melakukan senaman serta berlari di kawasan berhampiran rumah sekurang-kurangnya tiga jam sehari.

“Saya akan memastikan larian kali ini berjalan lancar kerana mahu mencatat rekod MBOR bagi kategori warga emas yang berlari sambil membawa Jalur Gemilang.

“Larian Merdeka ini juga membuktikan semangat saya, cintakan tanah air,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nasir yang juga Imam Surau Al Hijrah, Kuala Kedah berkata, mulanya dia mahu merekodkan tempoh larian 10 hari, namun menambah dua hari lagi untuk tiba di lokasi akhir mengambil kira faktor cuaca.

Selain itu, katanya, dia mengamalkan pengambilan makanan sihat dan bernutrisi untuk tenaga dan kurangkan ais.

“Seperti larian sebelum ini, zikir juga akan sentiasa menemani larian saya selain doa memohon perlindungan Allah.

“Saya akan menggunakan laluan kampung yang pernah dilalui sebelum ini, melalui Pulau Pinang, Perak dan akhirnya Selangor,” katanya yang juga bekas tentera.

Nasir pada 2002 pernah mencipta rekod larian sejauh 1,754km di Semenanjung Malaysia dalam tempoh sebulan, dari Kelantan ke Johor dan pulang ke Kedah.

Kemudian pada 2003, dia melakukan misi Larian Solo dari Tawau, Sabah ke Kuching di Sarawak sejauh 2,058km selama 48 hari selain Larian Sukan Malaysia (SUKMA) dan sempena kejayaan Kedah merangkul Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 5:29 PM