NASIR diberi rawatan dengan meletakkan ubat pada kaki kanannya yang bengkak pada hari keempat larian hari ini. FOTO ihsan Sazali Nasir
NASIR diberi rawatan dengan meletakkan ubat pada kaki kanannya yang bengkak pada hari keempat larian hari ini. FOTO ihsan Sazali Nasir
Zuliaty Zulkiffli


SELEPAS empat hari berlari, pelari solo, Nasir Abas, 62, atau Pak Nasir diuji apabila kaki kanannya bengkak hingga terpaksa berhenti lebih lima kali untuk mendapatkan rawatan, hari ini.

Menurut anaknya, Sazali, 33, kesihatan bapanya baik, cuma kaki kanannya bengkak selepas menambah jarak larian lima kilometer petang semalam sehingga tiba di Seberang Perai, Pulau Pinang.

Katanya, ikut perancangan Nasir dan rakannya, Krishnan Andy, 60, yang melakukan Larian Muhibbah Merdeka hanya berlari sejauh 40 kilometer (km).

"Ayah dan pakcik Krishnan memulakan larian jam 8.30 pagi tadi dari Ladang Veldor, Pulau Pinang dengan diiringi 10 ahli Persatuan Bekas Tentera India Pulau Pinang untuk jarak kira-kira tiga km sebelum mereka berdua meneruskan larian hingga ke Sungai Gedung, berhampiran Gunung Semanggol, Perak.

"Kami baru sampai di sini (Sungai Gedung) jam 5 petang dan akan berehat di sini sebelum memulakan larian esok ke Kamunting dan dijangka sampai di Padang Rengas, Perak sebelah petang.

"Keadaan cuaca hari ini sangat baik cuma ayah mempunyai masalah bengkak kaki namun pakcik Krishnan tidak mengalami sebarang masalah cuma perlu berlari perlahan untuk mengelakkan kakinya kejang seperti dialami pada hari pertama Sabtu lalu," katanya ketika dihubungi di sini.

Nasir dan Krishnan melakukan Larian Muhibbah Merdeka sejak Sabtu lalu yang dijangka mengambil masa kira-kira 12 hari untuk sampai di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos ini sempena Hari Kemerdekaan yang ke 60.

#loc 5.3700334999999999, 100.4139476

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 10:00 PM