NASIR (kiri) dan Krishnan meneruskan larian dan tiba di Sungai Siput Perak jam 5.30 petang. FOTO Ihsan Pak Nasir
NASIR (kiri) dan Krishnan meneruskan larian dan tiba di Sungai Siput Perak jam 5.30 petang. FOTO Ihsan Pak Nasir
Zuliaty Zulkiffli


BERBAKI enam hari untuk menamatkan Larian Muhibbah Merdeka ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, Krishnan Andy, 60, pula sakit kaki sewaktu menuruni bukit di Changkat Jering, Perak.

Nasir Abas, 62, ketika dihubungi berkata, kemungkinan disebabkan pertama kali menyertai larian seperti itu dan tidak biasa melalui kawasan berbukit menyebabkan Krishnan sakit kaki.

Katanya, dia bersama ahli keluarga yang mengiringi mereka kemudian memberi rawatan serta petua kepada rakannya itu supaya tidak patah semangat untuk meneruskan larian.

"Setakat ini, Alhamdulillah saya tak ada sebarang masalah kerana sudah biasa menggunakan laluan ini ketika larian sebelum ini.

"Kami bertolak dari Padang Rengas, Perak jam 7.45 pagi tadi dan sampai di Sungai Siput jam 5.30 petang serta disambut oleh ahli Persatuan Veteran Bekas Tentera India Perak sebaik tiba nanti," katanya.

Menurutnya, keadaan cuaca baik melancarkan larian hari ini sejauh 37 kilometer dan akan bersambung esok sehingga ke lokasi seterusnya.

Katanya, setakat ini dia sudah membelanjakan RM3,000 hasil wang simpanannya dan berharap ada pihak sudi menajanya untuk meneruskan larian.

"Kalau boleh ada pihak yang sudi menaja keperluan kami sepanjang larian ini pun jadilah..Sekurang-kurangnya ada juga saluran yang dapat membantu kami.

"Kami akan menyambung larian dari Sungai Siput ke Gopeng Perak esok dan berharap impian kami akan menjadi kenyataan untuk selamat sampai di Dataran Merdeka pada 31 Ogos nanti," katanya.

Berita berkaitan:

Pak Nasir berlari lagi

Dah sampai Bukit Mertajam

Kaki Pak Nasir bengkak

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 10:16 PM