NASIR (dua kiri) dan Krishnan (kanan) bersama pengiring berlari sambil mengibar Jalur Gemilang. FOTO ihsan Sazali Nasir.
NASIR (dua kiri) dan Krishnan (kanan) bersama pengiring berlari sambil mengibar Jalur Gemilang. FOTO ihsan Sazali Nasir.
Zuliaty Zulkiffli


DUA pelari, Nasir Abas, 62, dan rakannya, Krishnan Andy, 60, semakin hampir untuk sampai ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur bagi menamatkan Larian Muhibbah Merdeka sejauh 480 kilometer yang diharungi mereka dalam tempoh 12 hari.

Sazali Nasir, 33, ketika dihubungi berkata, bapanya dan pak cik Krishnan kini berhenti rehat di Templer Park, Rawang bermula 12 tengah hari ini sehingga 3 petang ini.

Katanya, mereka berdua akan menyambung larian menuju ke stesyen minyak BHP Jalan Kuching dan dijangka tiba di sana pada 6 petang ini.

"Mereka dijangka disambut Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharom dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi namun kehadiran mereka belum dapat dipastikan lagi setakat ini.

"Abah dan pak cik Krishnan kelihatan bersemangat untuk meneruskan larian hingga malam ini dan mereka dijangka tiba di Dataran Merdeka 11 malam iaitu sejam sebelum sambutan Hari Merdeka ke 60 tahun," katanya.

Nasir atau Pak Nasir yang juga pesara tentera bersama rakannya, Krishnan memulakan Larian Muhibbah Merdeka pada 19 Ogos lalu dari Stadium Darulaman, Alor Setar untuk larian sejauh 480 km ke Dataran Merdeka.

Ini adalah larian kelima Pak Nasir dalam tempoh dua tahun yang mana sebelum ini dia melakukan empat larian solo iaitu ketika pasukan Kedah muncul Naib Juara Piala Malaysia 2015, Larian Merdeka 2016, Larian Solo ketika pasukan Kedah Juara Piala Malaysia 2016 dan Larian Solo ketika Kedah menjuarai Piala FA 2017.

Manakala Krishnan yang juga pesara tentera, ini adalah larian pertama yang pernah disertainya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 2:36 PM