Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah KomersilPDRM, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad. FOTO ASYRAF HAMZAH
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah KomersilPDRM, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad. FOTO ASYRAF HAMZAH
BERNAMA

KES jenayah komersial di seluruh negara menunjukkan penurunan hampir 50 peratus sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak Covid-19.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata sebanyak 9,215 kes dilaporkan membabitkan kerugian RM717.2 juta bagi tempoh 1 Januari hingga semalam.

"Daripada jumlah itu, 3,074 kes dilaporkan sepanjang PKP (18 Mac hingga semalam) manakala jumlah sebelum perintah itu dilaksanakan ialah 6,141 kes.

"Dalam konteks jenayah komersial, trend penurunan ini agak baik namun angka jumlah keseluruhan kes dilaporkan masih besar," katanya.

Beliau berkata jenayah komersial paling tinggi direkod membabitkan penipuan dalam talian sebanyak 8,245 kes diikuti pecah amanah (428), penyalahgunaan harta (18), jenayah siber (111), pinjaman wang haram (292) dan wang palsu (91).

Beliau berkata jenayah penipuan dalam talian membabitkan pinjaman tidak wujud, tipu peraduan SMS menang hadiah, e-dagang, African Scam dan Macau Scam turut mencatatkan penurunan.

Mohd Zakaria turut menjelaskan tiada laporan diterima berhubung kes penipuan membabitkan Bantuan Prihatin Nasional dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setakat ini.

"Bagaimanapun, pihak polis akan terus memantau dengan rapi untuk memastikan tiada mangsa terutamanya warga tempatan menjadi mangsa penipuan," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata penipuan dalam talian membabitkan penjualan penutup hidung dan mulut mencatatkan sebanyak 709 kes dengan kerugian RM7.3 juta sehingga semalam.

"Bagi tempoh PKP sahaja, sejumlah 510 kes dicatatkan melibatkan kerugian lebih RM5 juta," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 6:28 PM