Pauziah hilang selepas keluar dari rumahnya 23 Julai lalu. FOTO Ihsan Keluarga
Pauziah hilang selepas keluar dari rumahnya 23 Julai lalu. FOTO Ihsan Keluarga
Nurul Hidayah Bahaudin


“SAYA buntu kerana sudah seminggu ibu masih gagal ditemui memandangkan kesihatannya sangat lemah,” kata anak kepada Pauziah Ma’lip, 59, yang dilaporkan hilang sejak seminggu lalu.

Pauziah dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Flat Desa Mentari, Petaling Jaya 9 pagi, 23 Julai lalu.

Anaknya, Noraishah Md Kassim, 31, berkata, ibunya itu baru saja menjalani pembedahan memotong jari kaki kanan Jun lalu.

“Kami sekeluarga bimbang dengan keadaan ibu memandangkan kesihatannya masih lemah kerana menghidap beberapa penyakit termasuk kegagalan buah pinggang, kencing manis, darah tinggi dan masalah jantung.

“Bila memikirkan perkara itu menyebabkan saya bimbang berlaku perkara tidak diingini terhadapnya ketika di luar sana,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menceritakan semula kejadian itu, Noraishah berkata, ibunya disedari hilang ketika dia datang ke rumahnya untuk mencuci luka.

“Setiap hari saya datang ke rumah ibu untuk mencuci luka pada jari kaki kanannya yang dipotong akibat kencing manis awal Jun lalu.

“Kebiasaannya, ibu menunggu saya di tingkat bawah namun pada hari kejadian, kelibatnya tidak kelihatan.

“Saya mencari di kawasan sekitar flat bersama abang namun gagal menemuinya sebelum kami ke rumah ibu untuk bertanyakan perkara itu kepada adik bongsu serta isterinya yang tinggal bersamanya,” katanya.

Noraishah berkata, dia mula risau apabila dimaklumkan adik bongsunya tidak mengetahui lokasi ibu mereka yang keluar rumah pada hari kejadian.

“Kami kemudian mencari ibu di kawasan berhampiran flat namun tidak menemuinya sebelum membuat laporan di Balai Polis Sungai Way keesokan hari.

“Berdasarkan pemeriksaan kami, ibu dipercayai keluar rumah dengan membawa dompet, kunci rumah dan telefon bimbit. “Bagaimanapun, telefon bimbit ibu dipercayai dimatikan kerana panggilan dibuat terus masuk ke peti suara,” katanya.

Katanya, kali terakhir Pauziah dilihat memakai baju ungu, berkain batik dan tudung hijau.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 11:54 PM