FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Pembinaan galeri di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) di Teluk Ketapang, Pangkor dekat sini, tidak mengganggu pendaratan penyu untuk bertelur di kawasan pantai terbabit.

Pengarah Perikanan Perak, Noraishah Hashim berkata, pembangunan di kawasan itu akan dibuat seperti di PKPP Segari, tetapi dalam kadar minimum.

Menurutnya, pembangunannya juga dibuat secara mesra penyu dengan semua aspek sudah diambil kira termasuk penggunaan lampu dan lokasi yang lebih tinggi serta berhampiran jalan.

"Justeru, ia tidak mengganggu pendaratan penyu dan haiwan itu masih boleh bertelur di pantai berkenaan, malah kawasan (yang sedang dibuat pembinaan) itu ada banyak akar pokok dan penyu mungkin tidak bertelur di situ," katanya ketika ditemui, semalam.

Noraishah berkata, bagi rekod pendaratan penyu bertelur di Teluk Ketapang pihaknya tiada data yang disahkan jabatan kerana mereka baru saja mengambil alih kawasan pada September 2021.

"Ketika itu penyu tidak mendarat kerana musim pendaratannya antara April hingga Ogos. Untuk tahun ini setakat April hingga Mei lalu merekodkan lima sarang dengan jumlah telur sebanyak 348.

"Daripada jumlah itu, kita sudah melepaskan 259 anak penyu agar dan menanam pokok ambong-ambong di kawasan berkenaan," katanya sambil memberitahu dengan usaha konservasi dan pengambilalihan kawasan berkenaan di bawah jabatan, pemuliharaan penyu dijaga dengan baik.

Sementara itu, Jabatan Perikanan merekodkan pendaratan penyu bertelur di PKPP Segari lebih tinggi tahun ini berbanding tahun lalu.

Noraishah berkata, pihaknya merekodkan 24 pendaratan penyu membabitkan 1,964 telur pada tahun lalu, manakala tahun ini sebanyak 21 pendaratan penyu dengan membabitkan 2,275 telur direkodkan setakat Jun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria, sebelum ini dilaporkan berkata, kerja pembinaan membabitkan kawasan seluas 65 meter persegi iaitu 0.16 peratus dari keseluruhan kawasan yang seluas 3.9 hektar di Teluk Ketapang, Pangkor.

Menurutnya, struktur yang dibina berbentuk bangunan tidak kekal dengan ketinggian satu meter dari paras tanah dan cahaya lampu yang digunakan juga adalah jenis lampu cahaya rendah dengan mengambil kira sensitiviti penyu.

Katanya, sebuah galeri dibina sebagai pusat kesedaran dan pendidikan kepada orang ramai serta menjadi antara produk pelancongan di pulau bebas cukai itu.

Sebelum ini juga, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) mengesan kerja pembangunan dilakukan di pantai Teluk Ketapang yang dibimbangi akan merosakkan pantai itu dan menjadi ancaman kepada pendaratan penyu di pulau berkenaan.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 11:10 AM