KOTA KINABALU 21 JULAI 2019. Suspek berjaya diberkas bersama besi penutup longkap yang dicuri selepas kenderaan yang mereka naiki di tahan polis di belakang sebuah pasaraya di Pekan Inanam, di Kota Kinabalu. NSTP/IHSAN POLIS.
KOTA KINABALU 21 JULAI 2019. Suspek berjaya diberkas bersama besi penutup longkap yang dicuri selepas kenderaan yang mereka naiki di tahan polis di belakang sebuah pasaraya di Pekan Inanam, di Kota Kinabalu. NSTP/IHSAN POLIS.
Norasikin Daineh


POLIS sedang mengesan suspek dikenali sebagai Amon selepas dipercayai terbabit dalam kes curi besi penutup longkang di sekitar Kota Kinabalu.

Seorang daripada rakan suspek diberkas 4 petang, Khamis lalu, selepas kenderaan yang mereka naiki di tahan polis di belakang sebuah pasar raya di pekan Inanam, Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sebelum itu pihaknya menerima laporan berhubung kecurian besi penutup longkang daripada seorang penduduk di Inanam.

“Pengadu menyedari kejadian itu kira-kira 9.30 pagi apabila mendapati besi penutup longkang yang dipasang di luar pagar hadapan rumahnya hilang dan dipercayai dicuri.

“Siasatan mendapati, lokasi kejadian di luar pagar rumah pengadu dan kali terakhir dilihat pada 8 malam Rabu lalu.

“Bagaimanapun, pengadu tidak mengesyaki sesiapa selain tiada saksi atau rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, Habibi berkata, pada hari yang sama kira-kira 4 petang anggota ronda menahan sebuah kenderaan yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika polis menghampiri kenderaan itu, didapati beberapa besi penutup longkang berada di bahagian penumpang belakang.

“Disebabkan itu, anggota polis cuba menahan suspek lelaki tempatan berusia 22 tahun namun berlaku sedikit pergelutan sehingga menyebabkan seorang daripadanya berjaya melarikan diri.

“Pemandu kenderaan itu berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan lanjut, sebanyak 30 unit besi penutup longkang, sembilan unit penebat pencawang elektrik, alat pemotong besi dan gergaji dipercayai digunakan suspek untuk melakukan jenayah itu,” katanya.

Habibi berkata, hasil daripada pendedahan membawa kepada pengakuan daripada suspek bahawa mereka baru saja mencuri besi penutup longkang di kawasan Inanam.

“Sehubungan itu, polis giat mengesan rakan suspek yang masih bebas iaitu lelaki tempatan berusia 20-an dikenali sebagai Amon dari Telipok,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini boleh memberikan maklumat ke balai polis berhampiran atau hubungi terus Pegawai Penyiasat Sarjan Afizan Kasijan di talian 019-8601230.

Terdahulu, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama sekiranya disabitkan kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 5:39 PM