ANTARA kenderaan yang dicalarkan suspek. FOTO Ihsan Polis
ANTARA kenderaan yang dicalarkan suspek. FOTO Ihsan Polis
Norasikin Daineh


GATAL tangan. Itu yang dapat digambarkan tindakan seorang lelaki mencalarkan beberapa kenderaan di tempat meletak kenderaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), baru-baru ini.

Bagaimanapun, perbuatannya lelaki berusia 33 tahun itu membawa padah apabila ditahan polis pada Isnin lalu, selepas seorang daripada pemilik kenderaan membuat laporan berhubung kereta yang diparkir di kawasan itu turut mengalami kesan calar.

Lelaki itu hanya menjadikan kenderaan berwarna hitam sebagai sasaran, namun motif tindakannya itu masih tidak diketahui.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, laporan polis dibuat lelaki yang juga pemilik kenderaan yang memakir kenderaan di tempat meletak kenderaan Zon A, KKIA.

Katanya, kejadian berlaku pada 10 pagi Ahad lalu apabila suspek mencalarkan Subaru Crosstrek milik mangsa menggunakan objek keras.

“Akibat kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kerugian sebanyak RM2,000.

“Laporan itu membawa kepada penahanan suspek pada keesokannya pada 8.30 malam di sebuah rumah di Kampung Seri Pandan, Putatan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Habibi turut dirampas barang kes membabitkan motosikal bersama kunci kenderaan itu dan gunting dipercayai digunakan untuk mencalar kenderaan mangsa.

Katanya, suspek mengaku melakukan kesalahan itu dan menggunakan gunting untuk mencalar serta menggores kereta mangsa.

“Suspek juga mengaku bahawa turut melakukan perkara sama kepada beberapa kenderaan lain di kawasan KKIA dan menjadikan kenderaan berwarna hitam sebagai sasaran.

“Suspek melakukan perkara itu secara rawak. Bagaimanapun motif suspek melakukan perkara itu masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 4:17 PM