BERNAMA

POLIS menahan lelaki warga tempatan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri besi penutup longkang termasuk penebat pencawang elektrik di sekitar Inanam, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, suspek ditahan di belakang pasar raya dekat pekan Inanam selepas anggota polis menjalankan rondaan di kawasan itu mendapati kereta dipandu suspek berada dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

“Ketika polis menghampiri kereta itu mendapati terdapat beberapa besi penutup longkang berada di bahagian penumpang belakang kereta.

“Setelah pemeriksaan lanjut dibuat, polis mendapati 30 unit besi penutup longkang, sembilan unit penebat pencawang elektrik dan masing-masing satu unit pemotong besi serta gergaji besi disimpan dalam kereta yang digunakan suspek pada masa itu,” katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu, hari ini.

Ketika pemeriksaan, polis cuba menahan seorang lagi lelaki yang juga rakan suspek namun berlaku sedikit pergelutan sehingga lelaki berusia lingkungan 20an itu dapat melarikan diri.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati suspek turut mengaku baharu sahaja mencuri besi penutup longkang di kawasan sekitar Inanam.

Polis masih memburu rakan suspek yang masih bebas, dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 11:47 AM