HAZIQ Abdullah ketika membuat pengakuan menerusi video berudrasi 34 saat di laman facebooknya berhubung video melakukan aksi ranjang hubungan sejenis. FOTO Facebook Haziq Abdullah
HAZIQ Abdullah ketika membuat pengakuan menerusi video berudrasi 34 saat di laman facebooknya berhubung video melakukan aksi ranjang hubungan sejenis. FOTO Facebook Haziq Abdullah
Murni Wan Omar dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


INDIVIDU yang mengaku sebagai lelaki dalam video lucah hubungan sejenis, Haziq Abdullah Abdul Aziz direman selama enam hari bermula hari ini.

Haziq Abdullah turut ditahan bersama lima individu lain dipercayai ahli PKR dalam serbuan besar-besaran di sekitar Lembah Klang, malam semalam.

Bekas Ketua Pemuda PKR Santubong ditahan bersama dua lagi individu berusia 25 dan 38 tahun di sebuah restoran di Kelana Jaya, Petaling Jaya, sekitar 9 malam.

Perintah tahanan reman terhadap Haziq Abdullah dikeluarkan Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi hari ini.

Siasatan terhadap Haziq Abdullah dan lima individu itu dibuat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seksyen 377B adalah atas kesalahan melakukan persetubuhan bertentangan dengan luar tabii yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan hukuman sebatan jika sabit kesalahan.

Seksyen 233 Akta Komunikasi memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Difahamkan penahanan ketiga-tiga mereka dipercayai susulan daripada siasatan berhubung penghasilan dan penyebaran video lucah hubungan sejenis yang sebelum ini diakui oleh Haziq Abdullah sendiri sebagai seorang daripada individu yang dirakam.

Difahamkan dalam tangkapan berkenaan pihak polis turut merampas lima telefon pintar serta kad sim.

Sumber berkata, ketika tangkapan dibuat, polis turut menahan seorang lagi ahli parti PKR berusia 36 tahun di sebuah restoran di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, dan merampas telefon pintar sebelum dibawa ke kediamannya di sebuah apartment di Taman Bukit Subang, Bandar Sunway, untuk pemeriksaan lanjut.

“Pasukan polis terdiri daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, turut menahan seorang lagi lelaki berusia 36 tahun di USJ 1, Subang Jaya, dan merampas enam telefon bimbit pelbagai model dan kad sim,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Huzir Mohamed mengesahkan penahanan Haziq serta beberapa individu lain itu namun enggan mengulas lanjut.

Berita berkaitan

Isu video: Haziq ditahan kali kedua

Dalang sebar video Haziq dikenal pasti

Polis masih siasat video seks

PKR pecat Haziq

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 3:17 PM