Anggota APM sedang memotong dahan pokok tumbang di sekitar ibu kota hari ini. Foto Ihsan APM
Anggota APM sedang memotong dahan pokok tumbang di sekitar ibu kota hari ini. Foto Ihsan APM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Hujan dan ribut yang melanda sejak petang hari ini menyebabkan berlaku beberapa kejadian pokok tumbang di sini.

Antara kawasan yang terjejas akibat pokok tumbang ialah Taman Bukit Cheras, Sentul, Danau Kota, Gombak Setia, Setapak dan Titiwangsa.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur Leftenan Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 5.20 petang dan menggerakkan pasukan ke lokasi kejadian.

"Hasil maklumat diterima mendapati terdapat 14 kes pokok tumbang berlaku di sekitar ibu kota.

"Setakat ini, tiada mangsa yang dilaporkan terbabit dalam semua kejadian berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, operasi memotong dan pengalihan pokok yang tumbang kini sedang dijalankan.

"Operasi pemotongan dilakukan menggunakan gergaji, manakala jentera berat digunakan untuk mengalihkan batang dan dahan pokok yang sudah dipotong itu dari kawasan jalan raya dan jalan kampung ke tempat selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 8:05 PM