ANGGOTA bomba membantu menurunkan mayat pegawai bank ditemui terjatuh. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba membantu menurunkan mayat pegawai bank ditemui terjatuh. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Sabran Md Sani


SEORANG pegawai bank berusia 33 tahun maut selepas dipercayai terjun dari tingkat 13 ke tingkat 7 di D-Summit, Pangsapuri Taman Kempas Utama, Kempas, Johor Bahru, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, kejadian jam 7.15 pagi itu mengakibatkan mangsa yang hanya dikenali Yen beralamat di Taman Desa, Kluang maut akibat parah.

Katanya, anggota bertugas di Balai Polis Kempas menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian seorang lelaki terjatuh dari pangsapuri.

“Pasukan polis kemudian bergegas ke lokasi kejadian, iaitu sebuah pangsapuri 35 tingkat.

“Pemeriksaan dijalankan mendapati si mati dalam keadaan terbaring di tingkat 7 Blok D bangunan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, tiada sebarang nota ditemui di sisi mayat berkenaan.

“Si mati dipercayai terjun dari tingkat 13 dan jatuh terhempas di tingkat 7,” katanya.

Berikutan itu katanya, seramai lapan anggota bomba membantu menurunkan mangsa dari balkoni tingkat 7 untuk dibawa ke hospital.

“Mangsa di bawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat,” katanya.

Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Pegawai Bomba II dari Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau, Kamaruzaman Salleh berkata, lapan anggota bomba bersama dua jentera ke lokasi kejadian selepas mendapat panggilan.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan dari polis untuk menurunkan satu mayat yang dikatakan terjatuh ke balkoni tingkat 7 sebuah pangsapuri.

“Bagi mengelakkan darah mayat melimpah lebih banyak, pihak bomba menggunakan tali dan pengusung untuk membawa mangsa ke bangunan bersebelahan.

“Identiti mayat tidak ditemui dan selepas mayat diturunkan, ia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 11:57 AM