GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Izlaily Nurul Ain Hussein


TUKANG cat dipercayai bergaduh dengan teman wanitanya sebelum ditemui meninggal dunia di tingkat bawah pangsapuri di Jalan Kemas Utama 2/6, Taman Kempas Utama, Johor Bahru.

Dalam kejadian 3.50 petang semalam, lelaki dikenali Lim, 44, itu ditemui dalam keadaan telungkup dipercayai terjatuh dari tempat tinggi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, insiden dimaklumkan kepada pihaknya oleh pengawal keselamatan pangsapuri itu.

“Mayat mangsa ditemui dengan kecederaan parah dan turut ditemui sebuah telefon bimbit yang sudah pecah.

“Kita menghubungi kenalan lelaki mangsa yang mengesahkan mangsa menyewa di sebuah unit di tingkat 34 pangsapuri itu.

“Siasatan dilakukan dan mendapati mangsa menetap di situ bersama teman wanitanya dan sebelum kejadian, pasangan itu dikatakan bergaduh di rumah rakan mereka di tingkat 20 blok sama,” katanya dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, akibat perselisihan itu mangsa didakwa meninggalkan rumah itu dan ke koridor bangunan.

Mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 4:01 PM