RAKAMAN CCTV yang menunjukkan lelaki berpura-pura sebagai jemaah measjid sebelum mencuri beg mengandungi komputer riba milik pelajar Tingkatan Enam. FOTO Tular
RAKAMAN CCTV yang menunjukkan lelaki berpura-pura sebagai jemaah measjid sebelum mencuri beg mengandungi komputer riba milik pelajar Tingkatan Enam. FOTO Tular
Mary Victoria Dass


LELAKI menyamar sebagai jemaah Masjid Taman Impian Emas di Johor Bahru, sebelum menggunakan kain sarong yang dipakainya untuk membungkus beg dalam kejadian curi, di Masjid Taman Impian Emas di sini, petang kelmarin.

Lelaki itu kemudiannya keluar menggunakan seluar yang tersedia dipakainya dan membawa beg yang dibalut menggunakan kain tanpa disedari orang ramai.

Bagaimanapun, tindakan lelaki itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan dan tular di media sosial hingga mendapat pelbagai cemuhan netizen.

Mangsa yang juga pelajar Tingkatan Enam, Muhammad Hakim Nasurul Haku, 19, berkata, kejadian berlaku pada 4.52 petang ketika singgah di masjid berkenaan untuk menggunakan tandas selepas pulang dari sekolah.

Menurutnya, ketika itu dia meletakkan beg mengandungi komputer riba, peralatan sekolah dan dompet di luar tandas.

“Kejadian berlaku hanya kira-kira dua minit selepas saya meninggalkan beg mengandungi dompet dan komputer riba, apabila keluar dari tandas saya dapati ia hilang dipercayai dilarikan seorang lelaki berpura-pura sebagai jemaah masjid.

“Saya bertanya kepada jemaah masjid, namun mereka menyatakan tidak melihat beg berkenaan.

“Bagaimanapun, hasil bantuan imam masjid saya berpeluang melihat rakaman CCTV yang menunjukkan seorang lelaki memegang beg berkenaan,” katanya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki itu berkata, menerusi rakaman CCTV berkenaan lelaki terbabit dilihat memakai baju warna hitam dan berseluar.

Menurutnya, bagaimanapun terdapat rakaman menunjukkan dia pada mulanya berkain sarung dan berpura-pura sebagai jemaah masjid.

“Saya tidak sangka menjadi sasaran penjenayah di tempat ibadat dan ia pengalaman tidak dapat dilupakan. Sepatutnya kita ke masjid untuk beribadat dan bukannya melakukan dosa.

“Kejadian itu menyebabkan saya kerugian kira-kira RM2,000 kerana komputer riba itu milik ibu saya selain dompet saya memiliki sejumlah wang.

“Saya juga kehilangan kad pengenalan dan berharap sekiranya ada orang menemuinya, tolonglah kembalikan kepada saya,” katanya.

Calon peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) berkata, kejadian itu menyebabkan pembelajarannya terganggu kerana komputer riba berkenaan mengandungi beberapa fail kerja kursus sekolah.

“Malah ia juga mengandungi fail kerja milik ibu dan kejadian berkenaan memberi kesedaran kepada saya untuk lebih berhati-hati pada masa depan di mana saja kita berada,” katanya.

Mangsa turut melaporkan kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad ketika dihubungi berkata, menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa menggunakan tandas masjid berkenaan kira-kira 3 petang.

Menurutnya, apabila keluar, mangsa mendapati beg mengandungi komputer bimbit yang diletak di luar pintu tandas masjid hilang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan dan kami sudah meneliti rakaman CCTV masjid itu bagi membantu siasatan.

“Pada masa sama, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 1:02 PM