FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Melvin Joni


REMAJA bertindak menyerang bapa kekasihnya selepas perbuatannya bersama anak perempuan lelaki itu diketahui dalam kejadian di Taman Moyan Jaya, di Padawan, Isnin lalu.

Difahamkan, remaja berusia 16 tahun itu sering datang ke rumah kekasihnya yang berusia 13 tahun untuk tidur sejak seminggu lalu.

Bagaimanapun, perbuatan itu diketahui bapa kekasihnya yang datang menyerbu bilik tidur anaknya pada 5.30 petang.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu bahawa suspek sudah ditahan.

“Suspek mengaku masuk ke dalam bilik mangsa seminggu yang lalu dan mengaku sudah melakukan hubungan seks dengan kekasihnya sebanyak 11 kali.

“Selain itu, suspek juga mengaku mencederakan bapa kekasihnya ketika cuba melarikan diri,” katanya.

Aidil berkata, suspek kini direman selama lima hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 dan 376 Kanun Keseksaan.

“Ayah gadis terbabit cedera di dada, telinga, pipi, jari dan calar di perut akibat diserang suspek.

“Sebelum itu, mangsa beberapa kali menyuruh anaknya membuka pintu bilik tetapi tidak dibuka sehingga menyebabkannya memecah masuk dan mendapati suspek sedang bersembunyi dalam tandas, manakala anak perempuannya berada dalam bilik tidur.

“Suspek terus keluar dari tandas lalu meluru ke arahnya dan menyerangnya menggunakan pisau lipat,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati anak mangsa dan suspek adalah rakan di sekolah swasta di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 3:23 PM