GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

ANGGOTA polis dikhuatiri lemas ketika cuba menyelamatkan anak lelakinya yang terjatuh ke dalam Sungai Muar di jeti berhampiran Istana Tanjung, Muar petang semalam.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, berdasarkan maklumat yang diterima 6.45 petang tadi, Lans Koperal Mohd Fairuz Mohd Hashim, 36, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dikatakan terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan anaknya, Muhammad Faqih Mohd Fairuz berusia tujuh tahun.

“Bagaimanapun, dipercayai ketika kejadian berlaku air pasang besar dan arus begitu laju menyebabkan bapa dan anaknya hanyut.

“Siasatan awal mendapati mangsa datang ke senteri Istana Tanjung untuk menghantar bungkusan makanan kepada rakannya yang bertugas di istana terbabit,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, difahamkan sebelum kejadian Mohd Fairuz ke istana tersebut bersama Muhammad Faqih dan dua lagi anaknya yang berusia sembilan dan empat tahun.

Menurut Zaharudin, ketika mangsa menghantar makanan kepada rakannya, tanpa disedari Muhammad Faqih berlari ke jeti dan terjatuh ke sungai, manakala dua lagi anaknya selamat.

Katanya, gerakan mencari mangsa dan anaknya dilancarkan membabitkan beberapa pasukan penyelamat termasuk Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Sehingga 11.30 malam tadi, operasi mencari belum menemui Mohd Fairuz dan anaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 12:59 AM