MAYAT mangsa dibawa ke jeti. FOTO ihsan Polis
MAYAT mangsa dibawa ke jeti. FOTO ihsan Polis
Essa Abu Yamin


Muar: Mayat seorang daripada dua beranak yang lemas selepas turun ke Sungai Muar di sini, kelmarin ditemukan jam 9.50 pagi hari ini.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim, Mohammad Othman berkata, mayat Muhammad Azwan Zainal, 25, ditemui terapung oleh sekumpulan nelayan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Mangsa kedua itu ditemui kira-kira tiga batu nautika dari lokasi kedua-dua mangsa itu dilaporkan hilang.

"Nelayan yang berada di kawasan terbabit menemui mangsa dalam keadaan terapung dan kemudiannya menyerahkan kepada pihak bomba yang berada di lokasi pencarian berhampiran," katanya ketika sidang media di Jeti Pangkalan Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Muar, di sini, hari ini.

Menurut beliau, mayat diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk pengecaman oleh waris.

"Kemudiannya maklumat pengecaman mayat berkenaan adalah Muhammad Azwan yang disahkan oleh keluarga mangsa sendiri.

"Dengan pengesahan berkenaan, pusat SAR di Marina Bay, Tanjung Emas kini bubar dan ditutup sepenuhnya pada jam 10.50 pagi hari ini, katanya.

Terdahulu, mayat mangsa pertama Zainal Jerman, 61, iaitu bapa kepada Muhammad Azwan ditemui 3.15 petang semalam kira-kira satu batu nautika dari lokasi kedua-dua mangsa itu dilaporkan hilang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip mengesahkan penemuan kedua-dua mayat berkenaan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Berita berkaitan:

  • Mayat bapa ditemui terapung
  • Dua beranak dikhuatiri lemas
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 1:25 PM