OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) dua beranak yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Muar petang semalam di teruskan pagi ini. FOTO Badrul Kamal Zakaria
OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) dua beranak yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Muar petang semalam di teruskan pagi ini. FOTO Badrul Kamal Zakaria
Badrul Kamal Zakaria


OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) dua beranak yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Muar petang semalam di teruskan pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, operasi pencarian di sambung semula sejak 7 pagi tadi selepas operasi SAR dihentikan sementara pada tengah malam tadi.

“Kita sudah melakukan operasi SAR ini sejak petang semalam, namun dihentikan sementara pada tengah malam tadi berikutan beberapa faktor.

“Justeru operasi SAR disambung sejak 7 pagi ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, SAR hari kedua membabitkan kekuatan 78 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Zaharudin berkata, radius pencarian kini diperluaskan bermula dari kawasan Marina Bay hingga ke kawasan Sabak Awor di Muar, bagi mengesan kedudukan kedua-dua mangsa.

“Pasukan penyelam juga membuat pencarian di sekitar lokasi kejadian, namun berhadapan sedikit kesukaran berikutan arus sungai yang deras.

“Selain itu dasar sungai yang berlumpur dan berbatu juga menyulitkan sedikit operasi SAR ini,” katanya.

Sementara itu tinjauan di lokasi kejadian mendapati pasukan SAR sedang giat melakukan operasi mencari dan menyelamat di kawasan tragedi berkenaan.

Dalam kejadian 6.30 petang semalam, seorang anggota polis bersama anak lelakinya berusia tujuh tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Muar berhampiran Istana Tanjung di sini.

Dalam kejadian itu, mangsa yang dikenali sebagai Lans Koperal Mohd Fairuz Mohd Hashim, 36, dilaporkan terjun ke sungai berkenaan bagi menyelamatkan anaknya, Muhammad Faqih yang terjatuh ke sungai ketika bermain di jeti istana berkenaan.

Mangsa bersama tiga lagi anaknya dipercayai ke lokasi kejadian untuk menghantar bungkusan makanan kepada rakannya yang juga bertugas sebagai pengawal istana, manakala ketiga-tiga anaknya dikatakan sempat bermain di tepi sungai, sebelum Muhammad Faqih tiba-tiba dipercayai terjatuh ke dalam sungai berkenaan.

Berita berkaitan

Ayah, anak dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 2:05 PM