MAYAT mangsa. FOTO Ihsan PDRM
MAYAT mangsa. FOTO Ihsan PDRM
Badrul Kamal Zakaria


MAYAT Lans Koperal Mohd Fairus Mohd Hashim, seorang daripada dua beranak yang terjatuh ke dalam Sungai Muar ditemui orang awam di tepi Jeti Nelayan Sungai Senduk, Mukim Sungai Mati, Tangkak, hari ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, jenazah anggota polis berusia 36 tahun itu ditemui jam 7.30 pagi tadi pada kedudukan sembilan kilometer dari tempat kejadian.

“Polis menerima maklumat daripada orang awam menerusi Pusat Kawalan (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak mengenai penemuan mayat berkenaan.

“Mayat terbabit ditemui berhampiran Jeti Nelayan Sungai Senduk, Mukim Sungai Mati, Tangkak dekat sini. Mayat berkenaan kemudiannya dinaikkan ke darat pada jam 8.45 pagi dan kemudian dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, pagi ini.

Zaharudin berkata, susulan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang membabitkan pasukan dari IPD Muar, Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ditamatkan pada 10 pagi tadi.

Semalam, pasukan SAR menemui mayat Muhammad Faqih, tujuh tahun, pada jam 2.40 petang di kuala Sungai Muar, berhampiran Marina Bay yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi nahas berlaku.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang kelmarin, seorang anggota polis bersama anak lelakinya dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Muar.

Mangsa bersama tiga lagi anaknya dipercayai ke lokasi untuk menghantar bungkusan makanan kepada rakannya yang bertugas di kawasan berhampiran,

Ketiga-tiga anaknya dikatakan sempat bermain di tepi sungai itu, sebelum Muhammad Faqih tiba-tiba terjatuh ke dalam sungai berkenaan.

Melihat keadaan itu, mangsa kemudiannya dipercayai bertindak terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan anaknya, namun dia turut hilang berikutan keadaan arus sungai yang agak deras dan air pasang besar.

Berita berkaitan

Operasi SAR dua beranak lemas diteruskan

Ayah, anak dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 3:45 PM