GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Fardy Bungga


SEORANG pelancong Korea Selatan yang hilang selepas mandi di laut bersama dua rakannya di pusat peranginan di Karambunai, dekat Kota Kinabalu, Jumaat lalu, ditemui lemas, hari ini.

Mayat mangsa, Kyeong Young An, 18, ditemui nelayan pada jam 6.30 pagi di perairan Kampung Gayang, kira-kira 4 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Penyelia Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Hasbi Hajat berkata, sebaik penemuan itu, penduduk segera melaporkan kepada bomba untuk tindakan segera.

Katanya, sepasukan bomba dikerah ke lokasi kejadian untuk mengambil mayat mangsa yang masih terapung sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan segera.

“Sebaik berjaya dinaikkan, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Rakan mangsa masih berada di negara ini turut dimaklumkan mengenai penemuan itu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Terdahulu dalam kejadian kira-kira 4 petang Jumaat lalu, mangsa dikatakan mandi bersama dua rakannya hanyut ke tengah laut.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dilakukan sebaik pasukan bomba di lokasi kejadian, namun terpaksa ditangguh ekoran keadaan gelap.

Operasi kemudiannya disambung semula 7 pagi semalam membabitkan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu dengan dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

Operasi itu turut dibantu oleh pihak polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) membabitkan jarak pencarian sejauh kira-kira 25 hingga 30 meter dari lokasi mangsa dipercayai tenggelam namun masih gagal ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 2:35 PM