Mayat Mohd Nisam Kasani, 46, yang maut dalam keadaan mengerikan apabila dihempap muatan balak selepas treler dipandunya terjunam ke dalam gaung.
Mayat Mohd Nisam Kasani, 46, yang maut dalam keadaan mengerikan apabila dihempap muatan balak selepas treler dipandunya terjunam ke dalam gaung.
BERNAMA

Kuantan: Dua lelaki maut dan seorang kanak-kanak lelaki cedera parah dalam kemalangan berasingan di Jalan Hutan Simpan Lesong dan KM147 Jalan Kuantan-Johor Bahru di Rompin, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata dalam nahas pertama di Jalan Hutan Simpan Lesong pada 4.30 petang, mangsa Mohd Nisam Kasani, 46, meninggal dunia di tempat kejadian selepas treler dipandunya dengan membawa muatan balak, terbabas masuk ke dalam gaung.

"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang memandu treler dalam perjalanan dari Hutan Simpan Lesong hendak keluar ke jalan utama dengan membawa muatan balak.

“Namun, ketika menuruni bukit, dipercayai treler itu hilang kawalan dan terbabas ke dalam gaung. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat dihempap muatan kayu balak," katanya di sini, hari ini.

Muhammad Aidil berkata mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Muadzam Shah di Rompin untuk bedah siasat.

Sementara itu, dalam nahas kedua di KM147 Jalan Kuantan/Johor Bahru pada 5.15 petang, Muhammad Shakir Habibur Rahman, 36, meninggal dunia di tempat kejadian manakala Muhammad Nadzir Shah, 10, cedera parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas masuk ke dalam parit.

Muhammad Aidil berkata kereta jenis Proton Saga yang dipandu Muhammad Shakir ketika dalam perjalanan menuju ke Kuantan, dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit di sebelah kiri jalan dan terbalik.

"Mayat pemandu kereta ini bersama penumpang iaitu kanak-kanak lelaki ini dihantar ke Hospital Rompin," katanya.

Muhammad Aidil berkata kedua-dua kes kemalangan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2016 @ 6:46 PM