PENYELIDIK Malaysia dari UniMAP meraih tempat kedua dalam pertandingan EUWIIN yang berlangsung di London, England.
PENYELIDIK Malaysia dari UniMAP meraih tempat kedua dalam pertandingan EUWIIN yang berlangsung di London, England.
HM Digital

PENYELIDIK negara dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meraih pingat perak dalam pertandingan Jaringan Rekacipta dan Inovasi Kesatuan Eropah (EUWIIN) di London, kelmarin.

Dr Rafiza Abdul Razak yang juga pensyarah kanan universiti itu meraih perak melalui konkrit ciptaannya yang berasaskan lumpur.

Sementara dua lagi rakannya, Dr Zarina Yahya dan Dr Alida Abdullah juga dari UniMAP bersama guru Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil (SJKT) Kajang, Thangeswary Annamallai menerima Anugerah Pengiktirafan Khas pada pertandingan anjuran Jaringan Perekacipta dan Penginovasi Wanita Antarabangsa (GWIIN) itu.

Penyelaras GWIIN bagi ASEAN dan pensyarah UniMAP, Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata, seorang lagi penyelidik negara dari Universiti Multimedia (MMU), Dr Ervina Efzan Mohd Noor meraih tempat ke empat.

“Dalam pertandingan itu, Rafiza mendapat tempat kedua di belakang penyelidik dari Iceland, Margret Vilborg Bjarnadottir.

“Beliau menghasilkan bahan pembinaan yang membantu masyarakat setempat dengan menghasilkan batu tiruan menggunakan lumpur bagi menggantikan batuan semula jadi dalam penghasilan konkrit.

“Penghasilan konkrit itu sebelum ini dijalankan dengan kerjasama penyelidik Petra Christian University, Surabaya,” katanya.

Mohd Mustafa berkata, kejayaan Rafiza itu membanggakan apabila daripada 500 penyelidik wanita dari seluruh dunia mengambil bahagian, hanya 22 penyelidik sahaja ke peringkat akhir.

Sementara itu, Rafiza berkata, kejayaan yang diperoleh bukan hanya untuk dirinya sahaja.

“Pencapaian untuk masyarakat kerana penyelidikan yang saya lakukan mampu menyelesaikan masalah.

“Malah, saya sentiasa menghasilkan produk yang memberikan manfaat kembali kepada masyarakat,” katanya.

Selain itu, pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan UniMAP, Dr Mohd Ariff Anuar Mohd Salleh diumumkan sebagai Duta Penyelidik Lelaki Terbaik atas pembabitan penyelidikan beliau dengan universiti di London.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 7:15 AM