MOHD Mustafa Al-Bakri (tengah) bersama peserta UniMAP Pertandingan Pameran Harta Intelek, Rekacipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (IPITEX 2020). FOTO Ihsan UniMAP).
MOHD Mustafa Al-Bakri (tengah) bersama peserta UniMAP Pertandingan Pameran Harta Intelek, Rekacipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (IPITEX 2020). FOTO Ihsan UniMAP).
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


UNIVERSITI Malaysia Perlis (UniMAP) mengungguli Pertandingan Pameran Harta Intelek, Rekacipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa di Bangkok, Thailand (IPITEX 2020), baru-baru ini.

Pada pertandingan itu berlangsung 2 Februari hingga Khamis lalu, UniMAP meraih empat pingat emas, tujuh perak, dan dua gangsa bagi kategori universiti.

Ketua Delegasi UniMAP, Profesor Dr Mohd Mustafa Al-Bakri Abdullah berkata, pingat emas UniMAP disumbangkan empat daripada 13 produk ciptaan kejuruteraan universiti yang dibawa ke pertandingan itu itu, sekali gus mengatasi 23 negara lain.

“Produk itu ialah alat pengesan makanan tercemar IOT hasil penyelidikan Profesor Dr Uda Hashim dan HY-HAp; Teknik Penghasilan Sintering Bersuhu Rendah Hydroxyapatite (HAp) khusus untuk kegunaan perubatan penyelidikan daripada Wan Mohd Arif Wan Ibrahim.

“Produk ketiga adalah Keberkesanan Penghasilan 3D Parameter terhadap Kekuatan Radiasi di dalam Koronari Sten hasil penyelidikan Profesor Madya Dr Noorhafiza Muhammad serta bahan Penstabilan Tanah Melalui Debu dan Letupan Tanah Slag (GGBS) melalui Proses Geopolimer khusus untuk aplikasi subgred hasil kajian Syafiadi Rizki Abdila,” katanya dalam kenyataan, di Kangar.

Beliau berkata, keempat-empat produk berkenaan diiktiraf sebagai produk kejuruteraan yang mesra alam, selain dianggap produk realistik untuk membantu kehidupan seharian manusia.

“Delegasi Malaysia disertai lebih 250 penyelidik muda yang terdiri daripada 44 sekolah dan Universiti Awam (UA) di seluruh negara.

“UniMAP selaku pengurus bagi pasukan negara bertanggungjawab menguruskan penyertaan 101 produk dari Malaysia yang bertanding di IPITEX 2020,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 2:47 PM