Prof Ir Dr Rizalafande (kiri) mendengar penerangan Ir Dr Ahmad Zaidi mengenai teknologi solar Photovoltaic kepada guru-guru sekolah rendah sekitar Perlis.
Prof Ir Dr Rizalafande (kiri) mendengar penerangan Ir Dr Ahmad Zaidi mengenai teknologi solar Photovoltaic kepada guru-guru sekolah rendah sekitar Perlis.
Muhammad Saufi Hassan


Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) komited dalam mengutamakan agenda penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan projek-projek penyelidikan yang dapat memberi manfaat kepada komuniti.

  Sehubungan itu, UniMAP menerusi Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik (FTKE) dan Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan (FSGM) menganjurkan 'Program Pemindahan Ilmu Peningkatan Pengetahuan Dalam Sistem Tenaga Solar Photovoltaic' Bersama Komuniti bagi 10 sekolah rendah di Perlis.

  Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniMAP, Prof Ir Dr Rizalafande Che Ismail berkata, inisiatif 'Geran Dana Penyelidikan Komuniti' (COMPRES) itu memberi pendedahan kepada guru dan pelajar cara pemasangan sistem tenaga solar photovoltaic.

  Katanya, sistem tenaga solar photovoltaic (PV) itu adalah sejenis sistem penjana elektrik melalui tenaga boleh baharu.

  "Melalui sistem solar PV ini, guru dan pelajar akan dapat membantu menjimatkan tenaga elektrik seterusnya mengurangkan kadar pencemaran karbon dioksida," katanya ketika Majlis Penyerahan 10 Set Kit Pengajaran Solar Pv Portable Bagi Geran Compress 9001-00609 di Makmal Teknologi Elektrik FTKE, UniMAP, baru-baru ini.

  Hadir sama Dekan FTKE Prof Madya Dr Haziah Abd Hamid, Prof Madya Dr Mohammad Harith Amlus yang menjalankan fungsi Dekan FSGM dan Ketua Projek Khatijahhusna Abd Rani serta guru sekolah rendah sekitar negeri itu.

  Rizalafande berkata, sebanyak 10 sekolah rendah menerima sumbangan satu set sistem tenaga solar PV dengan harapan ia dapat dijadikan batu loncatan dalam menarik minat pelajar meminati bidang sains dan teknologi dengan pendedahan yang diberikan.

  "Saya berharap program seperti ini bukan setakat di sini sebaliknya pensyarah mahupun penyelidik dapat turun padang ke sekolah-sekolah bagi memberi pendedahan lebih lanjut mengenai teknologi yang dibangunkan supaya ia dapat menarik pelajar terhadap sains," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 9:06 PM