MASA depan industri bergantung kepada keupayaan teknologi sekali gus setiap negara yang memberi usaha tumpuan kepada penyelidikan segmen berkenaan bakal menjadi pemain industri utama.
MASA depan industri bergantung kepada keupayaan teknologi sekali gus setiap negara yang memberi usaha tumpuan kepada penyelidikan segmen berkenaan bakal menjadi pemain industri utama.
Muhammad Saufi Hassan


PERKEMBANGAN pesat teknologi hari ini sebenarnya banyak dipengaruhi oleh usaha berterusan golongan penyelidik serta saintis dalam menghasilkan perkara baharu untuk manfaat sejagat.

Bidang penyelidikan, sains serta teknologi ini juga menjadi pemangkin kepada sesebuah negara dalam kemajuan ekonomi serta pemain industri utama di peringkat global.

Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) juga bertitik tolak kepada keupayaan teknologi baharu terutamanya untuk automasi dalam bidang industri termasuk kemajuan telekomunikasi Generasi Kelima atau '5G' yang banyak memberi ruang kepada industri untuk terus bergerak ke depan.

Malaysia tidak ketinggalan dalam arus kemajuan ini malah sedang memacu ke depan dan menjadi antara negara peneraju di rantau Asia Tenggara.

Semua pemangkin berkenaan hanya boleh direalisasikan apabila institusi pengajian tinggi (IPT) mengutamakan bidang penyelidikan sekali gus membudayakan pendekatan berkenaan dalam kalangan pelajar serta penyelidik pakar yang dimilikinya.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, institusi pengajian ini menjadi batu asas pengukur kepada keupayaan sains, teknologi dan bidang penyelidikan sesebuah negara.

"Institusi pengajian tinggi ini melahirkan tenaga pakar, penyelidik, pemikir dan sebagainya, jadi pembudayaan penyelidikan itu perlu untuk memangkin sesebuah negara serta ketamadunan.

"Oleh itu, langkah IPT untuk memberi galakan kepada pembudayaan ini sangat perlu malah memberi keupayaan kepada negara dalam skala yang besar," katanya.

Pada masa sama, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turut menyahut seruan itu apabila komited dalam mengutamakan agenda penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan projek-projek penyelidikan yang dapat memberi manfaat kepada komuniti.

Fokus kepada sains dan teknologi untuk menghadapi cabaran industri semasa termasuk memperkasakan geran penyelidikan.
Fokus kepada sains dan teknologi untuk menghadapi cabaran industri semasa termasuk memperkasakan geran penyelidikan.

Sehubungan itu, UniMAP menerusi Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik (FTKE) dan Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan (FSGM) menganjurkan 'Program Pemindahan Ilmu Peningkatan Pengetahuan Dalam Sistem Tenaga Solar Photovoltaic' Bersama Komuniti bagi 10 sekolah rendah di Perlis.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniMAP, Prof Ir Dr Rizalafande Che Ismail berkata, inisiatif 'Geran Dana Penyelidikan Komuniti' (COMPRES) itu memberi pendedahan kepada guru dan pelajar cara pemasangan sistem tenaga solar photovoltaic.

Katanya, sistem tenaga solar photovoltaic (PV) itu adalah sejenis sistem penjana elektrik melalui tenaga boleh baharu.

"Melalui sistem solar PV ini, guru dan pelajar akan dapat membantu menjimatkan tenaga elektrik seterusnya mengurangkan kadar pencemaran karbon dioksida," katanya ketika Majlis Penyerahan 10 Set Kit Pengajaran Solar Pv Portable Bagi Geran Compress 9001-00609 di Makmal Teknologi Elektrik FTKE, UniMAP, baru-baru ini.

Rizalafande berkata, sebanyak 10 sekolah rendah menerima sumbangan satu set sistem tenaga solar PV dengan harapan ia dapat dijadikan batu loncatan dalam menarik minat pelajar meminati bidang sains dan teknologi dengan pendedahan yang diberikan.

"Saya berharap program seperti ini bukan setakat di sini sebaliknya pensyarah mahupun penyelidik dapat turun padang ke sekolah-sekolah bagi memberi pendedahan lebih lanjut mengenai teknologi yang dibangunkan supaya ia dapat menarik pelajar terhadap sains," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 7:00 AM