Shahrinnahar Latib


PERNAH dipenjara kerana melakukan kesalahan jenayah termasuk samun, namun itu belum cukup ‘mengajar’ dua lelaki apabila dicekup polis kerana terbabit dalam kes samun bersenjata di Kuantan, sekitar Mei lalu.

Seorang daripada suspek berusia 30 tahun dikatakan terbabit dalam sembilan kes samun bersenjata membabitkan premis perniagaan, manakala seorang lagi berusia 20 tahun dipercayai terbabit dengan dua kes samun di pangsapuri.

Kedua-dua suspek menggunakan modus operandi sama iaitu menyasarkan premis dijaga atau dihuni wanita sebelum melakukan samun menggunakan pisau atau parang.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, suspek berusia 30 tahun dan bekerja sebagai pemandu e-hailing ditahan di FELDA Neram, Kemaman, Terengganu pada 4.30 petang, Isnin lalu.

“Ketika ditahan suspek cuba melarikan diri melalui bahagian belakang rumahnya, namun berjaya diberkas polis. Ketika diperiksa, polis menemui beberapa barang kes samun dilakukan suspek.

“Suspek mengaku terbabit dengan sembilan kejadian samun iaitu tiga kedai pakaian, dua klinik dan masing-masing satu kedai runcit, kedai kasut, farmasi dan kedai haiwan,” katanya dalam sidang media di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, suspek mempunyai empat kes lampau iaitu dua kes jenayah dan dua kes dadah serta pernah dikenakan hukuman penjara kerana kes samun.

Sementara itu, Mohamad Noor berkata, suspek kedua yang bekerja sebagai pembantu kedai ditahan sepasukan anggota polis di sebuah rumah di Tanah Putih, Kuantan pada 4.30 petang kerana dipercayai terbabit dalam dua kes samun bersenjata.

“Ketika ditahan suspek cuba bersembunyi di bahagian siling rumah berkenaan. Hasil tangkapan dan pemeriksaan itu, polis merampas barang kes berkaitan kejadian samun dan suspek mengaku terbabit dalam dua kes samun pangsapuri.

“Suspek mempunyai sembilan kes lampau iaitu lima kes jenayah dan empat kes dadah. Suspek sebelum ini pernah dikenakan hukuman penjara kerana kes samun,” katanya.

Mohamad Noor berkata, kejadian samun dilakukan kedua-dua suspek itu tidak mengakibatkan kecederaan kepada mangsa dan jumlah kerugian dianggarkan RM10,000.

Beliau berkata, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda serta sebatan jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 8:43 PM
MOHAMAD Noor (kiri) menunjukkan foto daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ketika sidang media berkaitan kes samun dan pecah rumah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, hari ini. FOTO Farizul Hafiz Awang
MOHAMAD Noor (kiri) menunjukkan foto daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ketika sidang media berkaitan kes samun dan pecah rumah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, hari ini. FOTO Farizul Hafiz Awang